Jason dan Pierre telah bekerja memasang papan dinding rumah bersama selama sedekad. Mereka ialah kawan baik, tetapi kedua-duanya jenis yang tidak banyak bercakap. Semasa bekerja, mereka jarang bercakap walau sepatah. Namun mereka sangat mengenal satu sama lain dan ini bukan masalah. Mereka berdua boleh bergantung hanya pada anggukan kepala atau pandangan mata untuk berkomunikasi. Isyarat kecil membawa makna yang besar.

Mazmur 32 menggambarkan tahap keakraban ini antara Tuhan dan pemazmur. Satu terjemahan menyatakan ayat 8 begini: “Aku akan membimbingmu dengan mata-Ku”. Tuhan bukan memerhati dari jauh; Dia ialah Bapa yang penuh kasih, bekerja bersama umat-Nya. Walaupun mazmur ini bermula dengan pengakuan dosa (ayat 1-5), fokusnya bukan pada hukuman, tetapi pada kasih Tuhan yang membimbing umat-Nya kembali ke jalan yang benar (ayat 6-7).

Pilihan lain ialah dengan menjadi seperti kuda atau keldai yang “perlu dipasangkan tali serta kekang supaya menurut kata” (ayat 9). Gambaran ini menunjukkan kedegilan dan kejahilan manusia ketika berusaha untuk memahami jalan Tuhan. Sebagai orang percaya dalam Yesus, kita dipanggil untuk memupuk keakraban dengan Tuhan supaya kita selaras dengan isyarat lembut-Nya. Salah satu caranya ialah membaca Alkitab. Ini membantu kita “hidup dalam Roh” (Galatia 5:25), supaya kita mengasihi apa yang dikasihi oleh Tuhan. Kemudian kita dapat “bersukacita dalam TUHAN dan bergembira” (Mazmur 32:11).