London ialah sebuah kota kosmopolitan, tempat yang didiami bersama oleh ramai orang dari pelbagai bangsa. Perpaduan ini membawa kemakmuran—termasuk makanan yang menakjubkan—tetapi juga cabaran. Contohnya, saya berasa sedih apabila rakan dari sebuah negara Eropah berkata bahawa mereka berasa merekalah yang paling kurang dihormati di London kerana negara mereka baru sahaja menyertai Kesatuan Eropah. Mereka berasa dipinggirkan, dipersalahkan atas masalah tertentu, bahkan dibenci kerana pekerjaan yang mereka dapat.
Oleh sebab Tuhan tidak pilih kasih, kita juga sepatutnya begitu. Dialah yang merobohkan tembok pemisah antara manusia. Kita melihat Roh-Nya bekerja dalam penglihatan Petrus semasa dia berdoa di atas bumbung, dan bagaimana dia dipanggil untuk melayani Kornelius, seorang bukan Yahudi yang takut akan Tuhan. Tuhan menolong Petrus menilai semula peraturan Yahudi yang melarang mereka bergaul dengan orang bukan Yahudi. Rasul itu mendengar dan pergi ke rumah Kornelius untuk menyampaikan berita baik tentang Yesus. Dia berkata, “Sesungguhnya, aku mengerti sekarang bahawa Allah tidak memilih kasih. Sesiapa yang takut akan Allah dan mengerjakan yang benar, tidak kira apa bangsanya, dialah yang diredai-Nya” (Kisah Para Rasul 10:34-35).
Orang Kristian yang mengikut Yesus dipanggil untuk mengasihi dan melayani semua orang yang dicipta menurut gambaran Kristus. Misi itu termasuklah tidak memihak orang berdasarkan bangsa atau warna kulit. Semoga kita belajar untuk menuntut keadilan dan membela mereka yang tertindas dengan pimpinan Tuhan (Yesaya 1:17).
