Seorang gadis berumur 16 tahun dipenjara selama 50 tahun di penjara yang dikawal ketat. Disebabkan dia masih muda, dia diasingkan daripada banduan lain. Selama hampir setahun, tiada sesiapa pun datang melawatnya. Suatu hari, semasa satu sesi pelayanan dan pembaptisan di penjara itu, pengawal membenarkan seorang ketua pelayanan masuk ke sel gadis tersebut. Gadis itu mendengar berita Injil, kemudian menerima Yesus sebagai Penyelamatnya. Dia menyerahkan hidupnya kepada Yesus dan meminta untuk dibaptiskan. Pada mulanya, pasukan pelayanan bercadang untuk menggunakan botol air untuk upacara pembaptisan kerana kawalan penjara yang ketat. Namun, kemudian pihak penjara menutup seluruh fasiliti dan membawa gadis itu ke sebuah kolam baptisan mudah alih. Ketika orang yang hadir pada hari itu berdoa, gadis itu menangis terharu.
Walaupun Tuhan berjanji untuk menghukum mereka yang menolak-Nya, Dia juga melimpahkan belas kasihan kepada mereka yang bertaubat. Dia memulihkan dan melindungi mereka yang percaya kepada nama-Nya (Zefanya 3:10-12). Pertaubatan membawa penebusan, kerana Tuhan sendiri “telah menyingkirkan” hukuman yang kita sepatutnya terima (ayat 15). Pengharapan bergema dalam kata-kata nabi Zefanya tentang Tuhan: “Dengan penuh sukacita Dia akan bergirang kerana engkau, dan tenang berdiam kerana kasih-Nya. Dengan sorak-sorai Dia akan bergembira kerana engkau” (ayat 17).
Oleh itu, kita boleh berkongsi Injil dengan belas kasihan dan keyakinan, terutamanya kepada mereka yang berasa jauh daripada Tuhan. Tidak kira di mana kita berada, apa yang kita lakukan, atau betapa sunyi, dilupakan, atau rasa tidak layak, Tuhan mengasihi dan menjejaki kita. Setiap orang berada dalam jangkauan Tuhan.
