Anak lelaki Kristin meninggal dunia akibat kanser ketika berusia tujuh tahun. Selepas tiga tahun, kini anak lelaki sulungnya juga didiagnosis dengan penyakit yang membawa maut. Rakan-rakannya yang belum percaya kepada Yesus turut berdukacita bersamanya, tetapi mereka tidak memahami mengapa dia masih terus mempercayai Tuhan. “Mengapakah Tuhan kamu membiarkan semua ini berlaku? Mengapakah kamu masih percaya kepada-Nya?” tanya mereka.

Namun bagi Kristin, ini menjadi alasan yang lebih kuat untuk terus percaya kepada Yesus. “Saya tidak mengerti mengapa semua ini berlaku,” katanya, “tetapi saya tahu Tuhan akan menolong kami melaluinya. Hanya Tuhan yang boleh memberi saya harapan untuk terus hidup.”

Harapan dan kepercayaan seperti ini juga memberi kekuatan kepada Raja Daud ketika dia berada dalam situasi yang tertekan. Ketika dikelilingi oleh musuh yang ingin menghancurkannya, dia mungkin tidak mengerti mengapa semua ini terjadi kepadanya. Namun, dia tahu bahawa dia sedang mengikut Tuhan yang boleh dipercayai untuk menyelamatkan dan memberkatinya menurut waktu-Nya (Mazmur 31:14-16). Harapan yang pasti ini membolehkannya untuk terus berserah kepada Tuhan dan berkata, “Usiaku berada dalam tangan-Mu” (ayat 15). Hal itu menguatkan semangatnya sehingga dia juga dapat berkata, “Tabahkan dirimu, teguhkan hatimu, semua kamu yang berharap kepada TUHAN” (ayat 24).

Ada kalanya ketika kita berasa tertekan dan seolah tidak ada lagi yang dapat diharapkan, kita tahu kita boleh berpegang lebih erat kepada Tuhan dan harapan yang memberi hidup yang hanya dapat diberikan-Nya.