Baru-baru ini, ibu saya telah menceritakan dengan teliti tentang pertarungan antara haiwan, yang dia menonton secara langsung melalui kanta kamera web dari sebuah mata air di Afrika. Gemsbok, sejenis antelop besar, mempunyai tanduk yang panjangnya boleh melebihi 60 sentimeter, menjadikannya haiwan yang gagah dan tidak mudah takut. Kecualilah sekiranya ia berdepan dengan sekumpulan burung unta yang berani dan garang.

Burung unta yang mengetuai kumpulan itu, yang biasanya lebih tinggi daripada musuhnya, mengembangkan bulu pelepahnya yang besar, mengeluarkan bunyi garang, dan menghentak ke arah tiga ekor gemsbok sehingga gemsbok-gemsbok itu lari.

“Saya rasa gemsbok-gemsbok itu tidak menyedari kekuatan tanduknya,” kata saya.

Orang yang percaya kepada Yesus boleh lupa kuasa yang kita miliki ketika menghadapi serangan musuh rohani kita, iaitu iblis. Kita memiliki Roh Kudus yang hidup dalam diri kita (Roma 8:11), dan senjata Tuhan untuk menolong kita: “Pakailah selengkap senjata Allah, supaya kamu dapat bertahan terhadap tipu daya iblis” (Efesus 6:11). Iblis mahu mencabar kepercayaan kita terhadap firman Tuhan, mempersoalkan identiti kita dalam Kristus, dan membuat kita berdosa.

Namun kita dapat berdiri teguh kerana senjata Tuhan telah meliputi “tali pinggang kebenaran, … perbenaran sebagai perisai dada, … perisai iman, … ketopong penyelamatan serta pedang Roh, iaitu firman Allah” (Efesus 6:14-17).

Apabila musuh menyerang kita dengan menggunakan perasaan takut, kutukan, atau keputusasaan, marilah kita ingat bahawa kita ialah anak-anak Tuhan dan dilengkapi sepenuhnya untuk berdiri teguh.