Rakan sekerja saya telah membuat panggilan telefon singkat untuk membincangkan suatu isu. Dia bertanyakan keadaan saya, dan saya mengakui bahawa saya mengalami resdung yang teruk, dan ubat yang diambil tidak berkesan. Rakan saya bertanya, “Bolehkah saya doakan kamu?” Setelah saya bersetuju, dia berdoa selama tiga puluh saat memohon kesembuhan daripada Tuhan. Saya mengaku, “Kadang-kadang saya lupa berdoa. Saya terlalu fokus kepada kesakitan sehingga tidak berdoa kepada Tuhan.”
Pengakuan itu membuat saya berfikir di mana saya meletakkan tumpuan saya—pada kesusahan, masalah atau Tuhan. Pada hari itu, fikiran saya tertumpu pada kesakitan kerana rasa sakit yang teruk. Namun Yesaya 26:3 mengingatkan kita bahawa apabila kita menumpukan fikiran kita kepada Tuhan, penyembuh dan penopang kita, kita dapat menemukan kedamaian: “Engkau akan menjaga orang yang tekadnya teguh dengan damai yang sempurna kerana dia percaya kepada-Mu.” Walaupun kesakitan itu mungkin tidak hilang serta-merta, atau tidak hilang sama sekali dalam hidup ini, nabi Yesaya mengingatkan kita supaya menaruh “kepercayaan dalam” Tuhan yang setia dan dapat menyediakan apa yang kita perlukan (ayat 4).
Petikan daripada kitab Yesaya ini menunjukkan bangsa Israel kepada janji-janji Tuhan semasa dan selepas pembuangan mereka. Mereka akan menyanyikan pujian kepada-Nya lagi apabila mereka berpegang pada iman dan harapan dalam apa yang akan disediakan oleh Tuhan (ayat 1-2). Kata-kata nabi Yesaya juga mengingatkan kita bahawa apa sahaja penderitaan yang kita alami, kita juga boleh menemukan penghiburan apabila kita fokus dalam kepercayaan kepada Tuhan dan berseru kepada-Nya.
