Semasa satu majlis hari jadi, Mia yang berusia lima tahun seronok bermain-main, menyanyi “Selamat Hari Jadi,” makan kek, dan melihat rakannya membuka hadiah. Apabila semua orang pergi bermain di luar rumah, Mia berkata, “Ibu, saya dah nak pulang.” Mereka pun mengucapkan selamat tinggal kepada tuan rumah mereka. Ibu Mia bertanya kepadanya di dalam kereta, “Mia, apa itu masa yang terbaik untuk kamu hari ini?” “Pulang,” kata Mia. Sambil tersenyum, dia tertidur sebelum mereka membelok ke selekoh.
Walaupun kita tidak sedar bahawa kita telah keletihan, setiap kita perlu rehat secara fizikal, mental dan emosi. Tuhan juga menyediakan istirahat ilahi dan istirahat rohani harian ketika kita menerima: keselamatan melalui Kristus, dan Roh Tuhan yang memampukan kita hidup untuk Kristus melalui iman. Orang yang meletakkan kepercayaannya kepada Tuhan boleh bergantung pada kehadiran Tuhan yang abadi, kuasa-Nya yang tak terbatas, dan janji-janji-Nya yang tidak berubah. Kita diselamatkan melalui penyaliban Kristus. Oleh itu, kita boleh beristirahat dalam ketenangan kerana Tuhan menjaga kita dan mencukupi segala keperluan kita (Ibrani 4:1-4). Istirahat ilahi yang diberikan oleh Tuhan adalah janji yang pasti. Ia telah digenapi untuk selama-lamanya. Kita dapat mengalaminya sekarang, dan apabila Yesus datang kembali (ayat 5-8).
“Orang yang telah masuk ke dalam peristirahatan-Nya juga telah berhenti daripada pekerjaannya, sebagaimana Allah telah berhenti daripada pekerjaan-Nya” (ayat 10). Oleh sebab janji Kristus yang pasti ini, kita boleh menikmati kehidupan yang penuh harapan dan kasih dengan berserah diri dan mentaati Dia, apabila kita percaya dan bergantung pada-Nya. Hanya Yesus yang dapat memberi kita istirahat yang menyegarkan pada masa lalu, sekarang, dan selama-lamanya.
