Elijah telah dengan tidak sengaja mengoyak sehelai wang kertas 10 dolar semasa bermain dengan kawan-kawannya. Ayahnya tidak memarahinya, sebaliknya menawarkan dia untuk menukar wang kertas yang telah koyak itu dengan yang baharu dari dompetnya.

“Kenapa ayah buat begitu?” Elijah bertanya dengan keliru. “Pertama, awak anak ayah,” jelas ayahnya. “Ia juga peringatan tentang apa yang dilakukan Yesus untuk kita. Kerana Yesus datang dan memberikan nyawa-Nya sebagai pertukaran untuk kita, barulah kita kini boleh menjalani kehidupan baru.”

Setiap nyawa manusia berharga di sisi Tuhan kerana Dia mencipta setiap kita. Akan tetapi, sifat berdosa kita—“tubuh dosa” (Roma 6:6)—menghalang kita menjalani hidup yang layak di hadapan Tuhan yang suci. Jadi Tuhan, dalam kasih-Nya yang besar kepada kita, rela menyerahkan Anak-Nya untuk menanggung harga dosa kita. Diri kita yang dahulu telah disalib bersama Kristus, dan sebagai gantinya, Dia menawari diri kita yang baru—“tidak lagi diperhamba oleh dosa” (ayat 6). Apabila kita menerima tawaran Tuhan untuk hidup baru, kita boleh yakin bahawa walaupun diri kita yang dahulu berdosa dan hancur—“dirosakkan oleh hawa nafsu tipu daya” (Efesus 4:22), kita kini sedang disempurnakan “menurut teladan Allah dalam perbenaran dan kesucian sejati” (ayat 24).

Ayah Elijah sanggup menawarkan wang miliknya untuk Elijah kerana dia mengasihi Elijah. Bagaimanapun, tawaran yang jauh lebih baik ialah tawaran yang diberikan Tuhan kepada kita: penebusan untuk hidup kita. Apabila kita menerima tawaran-Nya untuk hidup baru, kita tidak lagi sama seperti dahulu.