Semasa saya berjalan-jalan di sebuah kampus kolej komuniti, seorang wanita telah memberi saya satu sampul surat yang tertulis, “John Daniels Sr, Hari Berbuat Baik.” Wang kertas dua puluh dolar dan dua risalah dengan mesej tentang Yesus terkandung di dalam sampul surat tersebut.Setahun sebelum itu, John telah maut dilanggar kereta selepas membantu seorang gelandangan dan berkongsi kata-kata tentang kasih Kristus kepadanya. Perkataan dan perbuatan John yang bersaksi untuk Yesus telah kekal dalam ingatan wanita yang saya temui pada hari itu, bersama ahli-ahli keluarga John yang lain.

Dalam Matius 26:13, seorang wanita diperingati oleh Yesus dengan kata-kata ini: “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di mana-mana pun kelak Injil ini disebarkan di serata dunia, apa yang telah dilakukan oleh wanita ini akan dikisahkan juga sebagai kenangan kepadanya.” Kasih wanita tersebut kepada Kristus mendorongnya untuk mengurapi Dia dengan minyak wangi yang mahal (ayat 7). Apa yang disalahertikan dan dikritik oleh orang lain sebagai pembaziran (ayat 8-9) sebaliknya dipuji oleh Yesus sebagai “sesuatu yang baik” (ayat 10). Tuhan telah menggunakan satu cara yang unik melalui kasih sayang wanita itu yang mahal harganya, seperti Dia menggunakan perbuatan kita hari ini untuk melaksanakan tujuan-Nya.

Sampul surat yang saya terima menguatkan tekad saya untuk mengagihkan sumber kepada gelandangan yang terpinggir di bandar saya, tetapi kita dapat memuliakan Yesus dengan pelbagai cara. Marilah kita memberitahu orang lain tentang Dia dan menunjukkan kasih-Nya secara praktikal.