Isobel Kuhn, atau lebih dikenali sebagai Belle, tidak berminat dengan kepercayaan ibu bapanya kepada Yesus. Sewaktu belajar di universiti, dia mengisytiharkan dirinya seorang agnostik (orang yang tidak percaya akan kewujudan Tuhan) dan berusaha hidup tanpa Tuhan. Tetapi perpisahan dengan teman lelakinya dan kemurungan yang semakin ketara menyebabkan keadaannya semakin merosot. Dia bahkan pernah berfikir untuk membunuh diri.
Ketika dia menjadi sangat putus asa, dia teringat akan kegembiraan ibu bapanya dalam Kristus. Walaupun masih menghadapi masalah dan cabaran, dia akhirnya memilih untuk percaya dan menerima Yesus sebagai Penyelamatnya. Kemudian, dia mendengar seorang lelaki bercakap tentang sekumpulan orang di China yang belum pernah mendengar Injil. Dia ingin pergi ke sana untuk memberitahu mereka tentang Injil Kristus, tetapi beberapa orang tidak menggalakkannya kerana ada risiko bahaya. Namun dia pergi juga. Belle menghabiskan sisa hidupnya untuk menyampaikan Injil kepada orang di China dan Thailand bersama dengan seorang pemuda yang ditemuinya di universiti, yang kemudiannya menjadi suaminya. Ribuan orang telah menerima Yesus, dan kesaksian hidup Belle masih mempengaruhi orang di kawasan-kawasan tersebut.
Siapakah yang memberi kehidupan, harapan baharu dan menemani wanita muda ini ketika dia menghadapi cabaran hidup yang sukar? Yesus.
Adakah anda tertanya-tanya tentang tujuan hidup? Mungkin anda sedang mempersoalkan kewujudan diri sendiri? Marilah percaya kepada Kristus―“Anak Tunggal Allah” (Yohanes 3:18) yang telah mati untuk anda (Roma 5:8). Dia sangat mengasihi anda sehingga mahu memberikan hidup yang kekal kepada anda (Yohanes 3:16). Ya, “sesiapa yang percaya kepada Anak [yakni Yesus] mendapat hidup yang kekal” (3:36). Dan apabila kita percaya kepada Yesus, seperti yang dilakukan Belle, Dia akan menyertai kita semasa kita menghadapi cabaran hidup dan menolong kita menghulurkan kasih-Nya kepada orang lain.
