Hati saya sangat kecewa. Fikiran saya berserabut. Seorang rakan yang membantu menyediakan komputer riba baharu saya secara tidak sengaja memadamkan semua foto dan video yang telah saya pindahkan ke dalam komputer riba tersebut. Kenangan berharga selama bertahun-tahun bersama keluarga dan rakan-rakan semuanya hilang dalam sekelip mata. Panik mula dirasai. Saya tidak dapat mencipta semula detik-detik bermakna daripada waktu percutian, pengembaraan dan peristiwa istimewa yang lalu. Sebelum diri saya yang terlalu beremosi ini jatuh dalam kepanikan sepenuhnya, rakan saya berkata dia amat berharap bahawa dia boleh memulihkan semula fail-fail saya. Syukurlah, setelah beberapa jam yang mendebarkan, saya sangat gembira untuk melihat fail-fail media yang sungguh berharga itu muncul semula.
Saya menunggu dengan cemas hanya untuk beberapa jam, tetapi ketakutan itu nyata. Kehilangan boleh menjadi menakutkan dan menyakitkan. Dalam Yoel 2, nabi menyeru orang Yehuda untuk bertaubat selepas kawanan belalang telah memusnahkan ladang gandum, ladang anggur, taman, dan pokok mereka. Nabi telah memperingatkan umat tentang akibat yang akan datang kerana pemberontakan mereka terhadap Tuhan. Tetapi Tuhan tidak meninggalkan mereka. Dia akan membantu dan membawa pemulihan jika mereka meletakkan kepercayaan mereka kepada Tuhan: “Aku akan memulihkan bagimu tahun-tahun yang dilahap oleh belalang” (2:25).
Tuhan memulihkan Yehuda apabila mereka kembali kepada-Nya. Tuhan mahu memulihkan anda juga.
Walau apa pun keadaan anda, anda boleh kembali kepada Tuhan dan percaya kepada-Nya―mengetahui bahawa Dia adalah “TUHAN, Allahmu, dan tidak ada yang lain” (ayat 27). Dia setia menolong anda untuk memulihkan apa yang telah hilang, serta menolong anda untuk membina hubungan yang rapat dengan-Nya.
