Todd menjemput adik lelakinya Alex, yang baru tamat pengajian di universiti untuk tinggal bersamanya di rumah yang dibina olehnya. Dia mahu membantu adiknya memperoleh sedikit kewangan yang kukuh dengan membenarkan dia hidup tanpa sewa buat sementara waktu. Selepas enam bulan, Todd meminta Alex untuk mula membayar sewa. Beberapa tahun kemudian, Alex mula membuat persediaan untuk membeli rumah sendiri. Apabila semuanya telah siap sedia, Todd mengejutkannya dengan memberitahunya bahawa dia telah mendepositkan bayaran sewa Alex ke dalam sebuah akaun simpanan selama ini, dan jumlah wang yang banyak itu kini menjadi miliknya! Alex menangis ketika menerima hadiah mewah itu.
Dalam Imamat 25, perintah-perintah Tuhan yang disampaikan oleh Musa kepada orang Israel termasuklah membenarkan mereka yang memerlukan “terus tinggal di kalangan [mereka]” (ayat 35, TMV). Perintah ini adalah sebahagian arahan yang harus dilakukan oleh orang Israel pada “Tahun Jubli” (ayat 10)–apabila hutang diampunkan, orang miskin dibantu, dan yang diperhambakan dibebaskan (ayat 23-55). Dia mengisytiharkan bahawa Dia dengan penuh kasih telah memimpin umat-Nya “keluar dari Mesir untuk mengurniakan [mereka] Tanah Kanaan dan menjadi Allah [mereka]” (ayat 38). Dia telah menyediakan tanah air yang baru, dan kini mereka harus meneladani Dia dengan menunjukkan kasih dan membuka rumah mereka kepada orang lain.
Rasul Yohanes kemudiannya menulis, “Ketahuilah betapa kasihnya Bapa kepada kita sehingga kita disebut anak-anak Allah!” (1 Yohanes 3:1). Melalui pengorbanan Yesus, kita boleh menerima kepenuhan kasih yang berlimpah-limpah itu (ayat 16). Dan ketika Dia menolong kita, kita dengan murah hati boleh menyalurkan kasih ini kepada orang lain.
