Pengarang Richard Mouw menceritakan tentang seorang ahli teologi kulit hitam dari Afrika Selatan yang bergelut dengan kenangan hidupnya yang gelap di bawah aparteid (dasar pemisahan dan diskriminasi menurut warna kulit). Mouw menulis, “Seorang guru meminta seorang kanak-kanak Afrika memberi definisi mengenai ‘ingatan’. Selepas memikirkan soalan ini, kanak-kanak itu berkata, ‘Memori ialah perkara yang membantu saya untuk melupakan.” Betapa dalamnya kata-kata ini yang keluar daripada mulut kanak-kanak! Dia tidak mahu ingat banyak hal tentang masa lalunya, jadi dia mahu mengingati perkara-perkara yang baik.
Ramai orang memiliki parut yang sukar dilupakan dan disebabkan oleh perkara-perkara yang buruk. Tetapi kebijaksanaan kanak-kanak itu menawarkan harapan. Jika kita belajar untuk mengingati perkara yang lebih baik, kenangan itu boleh menguatkan kita untuk melangkah maju daripada masa lalu kita yang menyakitkan. Dalam Mazmur 42, pemazmur berasa seperti rusa yang berlari menyelamatkan nyawanya. Namun, dia juga berkata, “Apabila kukenang segala ini kucurah keluar seluruh jiwaku: kerana dahulu aku pergi bersama orang ramai, ke Rumah Allah, dengan sorak-sorai kegembiraan dan puji-pujian bersama orang ramai menyambut hari mulia” (ayat 4).
Kenangan pemazmur yang menyembah Tuhan mendorongnya untuk memuji, walaupun di tengah-tengah kesakitan. “Mengapa kau nestapa, wahai jiwaku? Mengapa engkau resah gelisah? Berharaplah kepada Allah, kerana aku akan memuji-Nya, Penyelamatku” (ayat 5). Ingatlah siapa Tuhan kita dan kita ialah milik-Nya, semua ini boleh menolong kita melangkah melampaui masa lalu yang menyakitkan dan sukar dilupakan.
