Rakan saya Butch Briggs ialah jurulatih yang disukai ramai untuk pasukan renang di sekolah menengah tempatan selama lima puluh satu tahun. Atas rasa ingin tahu, saya bertanya kepadanya berapa banyak kejuaraan negeri yang dimenanginya selama lima dekad. Seperti biasa, dengan nada lembut dia bergurau, “Saya tidak memenangi satu pun kejuaraan kerana saya tidak pernah berenang dalam satu pun perlumbaan.” Sekali lagi saya bertanya kepadanya, “Berapa banyakkah kejuaraan yang telah dimenangi oleh para perenang anda?” Dengan ramah dia menjawab, “Tiga puluh sembilan.”
Butch memberi saya satu pengajaran yang penting. Seorang jurulatih memainkan peranan penting, tetapi dia tidak mahu mengambil pujian atas pencapaian perenangnya.
Kerendahan hati Butch mengingatkan saya tentang pandangan Yohanes Pembaptis terhadap peranannya. Yohanes ditugaskan untuk memberitahu orang bahawa Yesus ialah Mesias—Penyelamat yang dijanjikan Tuhan. Tetapi Yohanes mendapat begitu banyak perhatian sehingga para pemimpin agama ingin mengetahui siapa dia. Sebagai respons, Kitab Suci mencatat bahawa Yohanes “mengaku, ‘Aku bukanlah Kristus’” (Yohanes 1:20). Walaupun ketika mereka mendesaknya, Yohanes menjelaskan bahawa peranannya adalah memberitakan kedatangan Yesus (ayat 21-23). Yesus barulah Penyelamat yang dinantikan mereka (ayat 27).
Aspek kerendahan hati ini—tidak mengambil pujian lebih daripada yang sepatutnya—adalah cara kita dapat mengekalkan perspektif yang betul mengenai pencapaian kita, sambil memberi penghargaan kepada orang lain bagi tugasan atau peranan yang telah diberikan kepada mereka.
