Ketika menghadiri satu persidangan, seorang wanita perasan bahawa rakannya—penyampai hari itu—kelihatan kurang sihat. Dia pun pergi mendekati rakannya yang menjawab, “Saya harus melakukan pembentangan ini. Jika saya masih berasa kurang sihat esok pagi, barulah saya akan pergi jumpa doktor.” Wanita itu tidak melupakan janji rakannya. Namun dia harus pulang awal pada hari itu, jadi dia meminta rakan lain untuk memeriksa keadaan penyampai itu.

Keesokan harinya, pintu hotel penyampai itu diketuk. Seorang lagi rakan telah datang untuk membawanya ke hospital. Penyampai itu tidak dapat menolak kali ini, dan—mujurlah—dia diberi rawatan tepat pada masanya. Keprihatinan rakan-rakannya yang tekud ternyata telah menyelamatkan nyawanya.

Kawan yang gigih boleh menjadi berkat, seperti orang-orang dalam Markus 2. Mereka telah mendengar tentang kuasa penyembuhan Yesus dan mengetahui Dia akan datang ke kota mereka (ayat 1). Masa itu orang ramai berpusu-pusu datang kepada Kristus, dan “penuh sesak” sehingga mereka tidak dapat membawa kawan mereka yang lumpuh kepada-Nya (ayat 2). Namun mereka tidak membiarkan orang ramai menghalang mereka untuk mendapatkan bantuan bagi rakan mereka yang memerlukan, maka: “mereka membuka bumbung rumah betul-betul di atas tempat Yesus berada lalu menurunkan … orang lumpuh” (ayat 4). Kemudian Kristus menyembuhkannya (ayat 11-12).

Mari kita membawa keperluan orang lain kepada Yesus melalui doa yang berterusan. Ketika Dia menyediakan apa yang kita perlukan, marilah kita juga berusaha untuk membantu dan mengasihi mereka sebaik-baiknya.