Sedang bas kami bergerak semakin tinggi di jalan sempit di sepanjang Pergunungan Andes, rakan sepasukan saya asyik ketawa dan menyanyi. Waktu itu saya merenung ke luar tingkap dan berasa terkejut kerana tiada sebarang pagar sebagai penghadang antara kami dan gaung dalam di sebelah kanan kami. Saya berasa agak takut dan cemas ketika bas kami terus bergerak, dan saya mula tertanya-tanya mengapa pasukan misi jangka pendek kami mahu datang ke bahagian terpencil di Ecuador ini. Kemudian saya sedar: Sekiranya Tuhan sanggup mengutus Anak-Nya sendiri untuk mati bagi mereka, maka Dia pasti sangat mengasihi orang-orang ini. Jadi saya juga pasti dapat mengalami perjalanan bas yang menakutkan untuk menyatakan kasih itu dengan mereka.

Akhirnya perjalanan ini menjadi satu kegembiraan kerana kami dapat mengadakan kelas singkat untuk belajar Alkitab, berkongsi kesaksian kami, dan berdoa dengan orang yang menyambut kedatangan kami di pelbagai bandar yang kami lawati setiap hari.

Rasul Paulus komited untuk memberitahu orang lain tentang Yesus supaya mereka juga boleh meletakkan kepercayaan mereka kepada-Nya. Dalam Roma 10:13, dia berkata bahawa semua yang berseru kepada Yesus “akan diselamatkan.” Tetapi, “bagaimana mereka dapat beriman kepada-Nya sedangkan mereka tidak pernah mendengar tentang-Nya? Dan bagaimana mereka dapat mendengar sedangkan tiada sesiapa pun yang mengkhabarkan tentang-Nya? Dan bagaimana orang dapat mengajar kecuali dihantar?” (Roma 10:14-15).

Terdapat orang di sekeliling kita yang tidak mengenal Kristus. Mari kita meminta keberanian daripada Tuhan untuk berkongsi berita baik tentang Yesus dengan orang lain, berdoa dengan mereka, dan menjemput mereka untuk menghadiri kebaktian atau aktiviti gereja.