Apabila Agensi Transit Kentucky Tengah (TACK) mengubahsuai ibu pejabatnya, ia mahu memastikan semua orang memperhatikan kewujudannya. Agensi tersebut bukannya memasang papan tanda atau pengumuman yang kecil, sebaliknya ia telah memasang sebuah paku tekan, yang hampir setinggi tujuh meter di pintu masuknya. Paku tekan yang raksasa ini telah memecahkan rekod dunia, serta menjadi penanda yang tidak mungkin terlepas daripada pandangan sesiapa yang lalu di situ.

Dalam Daniel 6, Tuhan menggunakan sesuatu yang tidak dapat disangkal untuk menarik perhatian orang: Dia menyelamatkan Daniel secara mukjizat selepas Daniel dihumban ke dalam gua singa kerana memilih untuk mengingkari titah Raja Darius dengan terus berdoa kepada Tuhan (ayat 10-23). Nabi itu terselamat kerana dia “beriman kepada Allahnya” (ayat 23). Kemudian Darius mengisytiharkan—tidak seperti berhala orang Media dan Parsi yang mati—Tuhan Daniel ialah “Allah yang hidup dan yang tetap selama-lamanya” (ayat 26). Dia sahaja yang “melepaskan dan menyelamatkan [serta] mengadakan tanda-tanda dan pelbagai keajaiban baik di langit mahupun di bumi” (ayat 27). Sungguh mengagumkan apabila seorang raja pagan pun mengakui kuasa dan kedaulatan Tuhan. Ibarat “paku tekan” gergasi, kuasa Tuhan memang tidak dapat diabaikan.

Kadang-kadang Tuhan menarik perhatian kita dengan melakukan sesuatu yang penting dan tidak dapat dinafikan (ayat 27)—penyelamatan yang luar biasa, penyediaan yang tepat pada masanya, dan transformasi hati manusia. Pada masa lain, Dia bekerja dengan senyap semasa kita melihat dan menunggu. Marilah kita kagum dengan apa yang telah dilakukan-Nya di dalam hati dan di sekeliling kita hari ini—percaya kepada-Nya dan kuasa-Nya yang besar (ayat 23).