“Alamak!” Itulah reaksi saya apabila membuka sarang lebah dan mendapati koloni itu telah mati secara tiba-tiba. Sebelum ini sarang ini menghasilkan banyak madu. Saya telah menjaganya dengan teliti sepanjang musim sejuk yang sederhana dan menjangkakan hasil tuaian yang awal. Tetapi serangan udara sejuk secara mengejut semasa cuaca panas telah menyebabkan semua lebah mati.

Saya bertanya kepada beberapa pakar tempatan, mereka menghiburkan saya dengan berkata, “Ramai penternak lebah juga kehilangan banyak koloni lebah kali ini.” Musim sejuk yang sederhana memberi cabaran kepada lebah, mahupun sarang yang sihat. Lebah mengipaskan sayap untuk mengekalkan kehangatan dalam sarang pada musim sejuk, tetapi apabila cuaca menjadi panas sebentar, lebah akan meletihkan diri untuk mencari lebih banyak makanan. Jadi jika suhu turun secara mendadak, serangga kecil ini tidak mempunyai kekuatan lagi untuk memanaskan badan.. Kemusnahan terjadi akibat “gangguan” ini.

Perkara yang baik pun boleh menjadi bahaya apabila ia mengalihkan perhatian kita daripada perkara yang paling penting. Musa memberi amaran kepada umat Tuhan tentang perkara ini selepas mereka keluar dari Mesir dan sebelum mereka memasuki negeri yang akan diberikan oleh Tuhan—sebuah negeri dengan “rumah-rumah yang penuh dengan segala sesuatu yang baik yang tidak [mereka] isi” (Ulangan 6:11). “Apabila engkau sudah makan dan menjadi kenyang,” Musa memperingatkan, “maka berhati-hatilah, supaya jangan engkau melupakan TUHAN ” (ayat 11-12, TB).