Tiga puluh tahun yang lalu, saya menyertai satu aktiviti di bengkel pengangguran yang masih saya ingat sehingga kini. Saya dan rakan sekerja lain yang turut diberhentikan diminta menulis ucapan persaraan kami. Hah? Kami sedang mencari kerja dan lama lagi untuk mencapai usia persaraan. Namun fasilitator tersebut mendedahkan tujuan aktiviti itu dengan berkata, “Ucapan kamu mungkin tidak ada kaitan dengan kerja kamu.” Dia menjelaskan bahawa pekerjaan sebenarnya bukanlah pusat kehidupan kami. Sementara kita mungkin bersedih kerana kehilangan pekerjaan, hidup kita jauh lebih bermakna daripada sekadar mempunyai pekerjaan.

Butiran tentang akhir hayat Abraham mengingatkan saya akan satu kebenaran rohani yang mendalam. Dia “meninggal ketika sudah sangat tua” (Kejadian 25:8), terjemahan lain mengatakan bahawa dia “menjalani kehidupan yang lama dan memuaskan” (NLT). Sepanjang Kitab Suci, kita membaca tentang kesetiaan Abraham dalam mentaati perintah Tuhan, tetapi tidak banyak dicatat tentang pencapaian pekerjaannya. Iman yang ditunjukkannya oleh bapa leluhur ini (15:6) mengingatkan saya kepada kesimpulan kitab Pengkhutbah: “Kepada orang yang Dia berkenan dalam hati-Nya, Allah menganugerahkan hikmah, ilmu pengetahuan dan kegembiraan” (Pengkhutbah 2:26). Sang Pengkhutbah mengatakan ini selepas dia merenungkan makna kehidupan dan bagaimana seseorang dapat menemukan sukacita sejati di tengah-tengah kerja dan jerih payah (ayat 24-25).

Walaupun semasa mengalami kehilangan dan kebimbangan yang disebabkan oleh pengangguran, merenungkan teladan Abraham dan kata-kata Sang Pengkhutbah akan mengarahkan tumpuan kita kepada kepuasan sebenar yang hanya terdapat dalam Tuhan.