Seramai dua puluh dua orang pemimpin Kristian mengembara setengah hari untuk bertemu dan belajar secara rahsia daripada seorang pastor yang datang dari negara lain. Jika ditangkap, pastor itu akan dihantar pulang, dan yang lain akan dipenjara selama tiga tahun. Lapan belas daripada dua puluh dua orang itu pun pernah dipenjarakan kerana iman mereka kepada Yesus.

Selepas pastor itu menghulurkan lima belas buah Alkitab yang dibawanya, seorang wanita memberikannya kepada orang lain. Seperti kebanyakan orang, dia telah menghafal fasal-fasal Kitab Suci supaya dia dapat menyimpan kebijaksanaan dan kebenaran Alkitab dalam hatinya jika dia dimasukkan ke penjara. Dia kemudian meminta pastor untuk berdoa agar gereja mereka bebas untuk berkumpul seperti gerejanya. Namun pastor tersebut kagum dengan pengorbanan mereka, serta ketabahan mereka ketika menanggung penganiayaan, dan keberanian ketika berdepan risiko dipenjarakan, dia sebaliknya berdoa agar gerejanya menjadi sama seperti gereja mereka.

Ramai orang Kristian dari seluruh dunia dianiaya kerana iman mereka kepada Kristus, sesetengahnya lebih teruk daripada yang lain. Semua orang percaya tidak dapat dielakkan untuk berasa takut apabila risiko hidup demi Kristus menjadi semakin tinggi. Tetapi Roh Kudus memampukan kita dengan kurnia-Nya―“kuasa, kasih dan tatatertib” (2 Timotius 1:7). Tuhan akan menolong kita berkongsi Injil dengan berani dan belas kasihan, ke mana sahaja Dia memimpin. Kerana semua yang dilakukan-Nya untuk kita (ayat 9-10), kita sanggup menanggung pengorbanan kerana komitmen kepada Kristus, dan “berpegang teguhlah kepada rangkaian kata-kata benar yang telah kamu dengar daripadaku, dengan iman dan kasih dalam Kristus Yesus” (ayat 13).