Joseph melayari iklan-iklan kerja dengan rasa kecewa. Pekerjaan sebelumnya sebagai pelayan restoran bergaji lumayan, tetapi industri ini biasanya menuntut pekerja bertugas secara giliran pada hujung minggu. Akibatnya Joseph yang baru percaya kepada Yesus tidak dapat menghadiri gereja secara tetap. “Mengapakah Tuhan tidak menjawab doaku?” ratapnya. “Tidakkah Tuhan mahu aku menghadiri gereja?”

Selepas satu tahun, Joseph menyedari bahawa dia perlu menyelaraskan jangkaannya dan mencuba industri yang berbeza. Akhirnya dia menemukan pekerjaan dengan syif hari kerja yang tetap. Sambil bersyukur kepada Tuhan, dia menyedari bahawa penantian yang panjang itu telah membantu dia menjadi lebih matang ketika membuat keputusan. Proses pertukaran pekerjaan ini juga telah mengajar Joseph apa ertinya untuk tabah dalam hidup dan percaya kepada Tuhan, bahawa Dia akan menyatakan rancangan-Nya mengikut waktu-Nya.

Itulah yang dikatakan oleh Yakobus kepada orang Yahudi yang percaya kepada Yesus, yang tersebar di serata dunia dan menghadapi pelbagai dugaan. Untuk menggalakkan mereka agar tidak berputus asa, Yakobus berkata: “ Pastikan bahawa ketabahanmu itu berterusan, sehingga kamu menjadi sempurna tanpa sebarang kekurangan pun” (Yakobus 1:4). Proses memohon Tuhan untuk mengurniakan kebijaksanaan, menantikan Tuhan, dan berdiri teguh (ayat 5-6) bukan sahaja akan memupuk kesabaran dan kepercayaan mereka kepada Tuhan, tetapi juga membantu mereka bertumbuh dalam kematangan apabila mereka belajar lebih banyak tentang diri mereka sendiri dan Tuhan.

Mungkin sukar untuk menunggu jawapan Tuhan, tetapi proses ini menjadikan kita lebih matang dan setia, menguatkan iman kita, dan memberi kita pemahaman yang lebih mendalam tentang apa ertinya mempercayai Tuhan.