Sewaktu saya seorang wartawan muda, impian saya menjadi kenyataan apabila saya berpeluang untuk menghadiri Sukan Olimpik Musim Panas dan Musim Sejuk dan bertemu dengan para atlet. Saya terpesona mendengar orang dari serata dunia bertutur dalam bahasa yang berlainan dan bersorak untuk pasukan negara mereka masing-masing.

Saya meminati Sukan Olimpik sejak saya remaja, tetapi ia telah menjadi satu obsesi. Selepas saya memutuskan untuk mengikut Tuhan semasa di Sukan Olimpik Musim Panas, saya merasakan Tuhan meminta saya untuk tidak lagi mendewa-dewakan sukan. Akan tetapi, saya masih memiliki kasih terhadap negara-negara lain. Saya masih gemar menonton Sukan Olimpik, tetapi hati saya benar-benar tersentuh apabila orang daripada latar belakang berlainan dan dari negara berlainan berkumpul di kebaktian gereja, berdoa dan menyembah Raja segala raja. Betapa indahnya pengalaman bak syurga di bumi (Wahyu 7:9)!

Apabila kita ingat siapa diri kita dalam Kristus, kita ingat bahawa kita ialah milik keluarga Tuhan dan keluarga-Nya bersifat antarabangsa.

Rasul Paulus menyatakan kepada orang percaya di Galatia, “Kamu semua telah menjadi anak Allah melalui iman dalam Kristus Yesus” (Galatia 3:26). “Tiadalah lagi orang Yahudi atau orang Yunani, hamba atau orang merdeka, lelaki atau perempuan, kamu semua menjadi satu dalam Kristus Yesus” (ayat 28).

Tidak kira dari mana kita berasal atau di mana kita tinggal, marilah kita bersukacita kerana sebagai orang percaya, kita menjadi satu dalam Kristus dengan saudara dan saudari seiman kita di seluruh dunia.