Beberapa tahun yang lalu, artis Michael Landy mengumpul dan mencatatkan semua barang yang dimilikinya dalam satu senarai. 7,227, inilah jumlah barang miliknya. Apa yang dilakukannya seterusnya amat mengejutkan. Setelah mendirikan sebuah kilang di daerah beli-belah yang paling sibuk di London, Landy memusnahkan semua barang miliknya dalam khalayak ramai. Pakaian, karya seni, surat cinta, malah keretanya, dihancurkan, diletakkan di atas tali sawat penyampai, dan dimasukkan ke dalam pengisar. Ketika orang awam meluru keluar masuk pusat beli-belah berdekatan, seni persembahan yang disampaikan oleh Landy ingin mengajukan soalan ini, “Siapakah kita jika tanpa harta milik kita?”
Ini merupakan soalan yang penting kerana kebanyakan kita membeli barang untuk menentukan siapa diri kita atau menjamin masa depan kita. Yesus menceritakan perumpamaan tentang seorang lelaki yang menyorokkan harta kekayaannya dan mengamalkan gaya hidup kepenggunaan (konsumerisme) yang leka. “Engkau mempunyai harta yang banyak untuk keperluanmu selama bertahun-tahun,” kata lelaki itu kepada dirinya sendiri. “Nikmatilah hidup. Makan minum dan bersuka rialah” (Lukas 12:19). Bagaimanapun, apakah yang tinggal apabila nyawanya “dituntut” daripadanya pada malam itu? Hanya teguran Tuhan kerana orang itu telah terlepas apa yang paling penting (ayat 20-21).
Ini bukannya dosa untuk memiliki harta benda. Michael Landy masih memerlukan pakaian. Akan tetapi, apabila kita tergoda untuk mencari kehidupan dan identiti dalam apa yang kita miliki, Yesus mengingatkan kita bahawa “kehidupan manusia tidak bergantung pada harta kekayaan yang dimiliki” (ayat 15). Siapakah anda tanpa segala harta benda anda? Anda masih anak Tuhan yang dikasihi-Nya (Mazmur 103:17; Efesus 5:1). Kita boleh menjadi kaya pada pandangan Tuhan dan orang lain kerana identiti yang kukuh ini.
