Anak saudara perempuan saya, seorang mahasiswa tahun pertama, sibuk dengan tugasan dan menyesuaikan diri dengan kediaman baharu. Disebabkan isu keselamatan baru-baru ini, pihak universitinya memerlukan pas kenderaan. Memandangkan kesibukannya, saya menawarkan diri untuk menolongnya. “Terima kasih!” katanya kemudian, terkejut bahawa tugas saya ini hanya mengambil masa beberapa minit di pejabat kampus.

Apa yang tidak diketahuinya ialah, tugas yang sepatutnya “mudah” itu memakan masa setengah hari untuk berurusan dengan pihak pejabat, membetulkan kesilapan dalam permohonannya, dan mengumpulkan dokumen yang tertinggal. Akan tetapi, saya tidak memberitahunya perkara ini. “Sama-sama!” kata saya.

Kasih sayang mengambil berat tentang butir-butir terperinci. Misalnya saya telah mengurus butir-butir terperinci yang tidak disedari oleh anak saudara perempuan saya. Kitab Suci memberitahu kita tentang kasih Tuhan dalam dua butiran yang kelihatan kecil mengenai kehidupan orang Israel di padang gurun: pakaian dan kasut mereka. Setelah berjalan selama empat puluh tahun, “pakaian [mereka] tidak menjadi lusuh di tubuh dan kasut [mereka] tidak menjadi usang di kaki” (Ulangan 29:5). Sebenarnya, kaki mereka pun tidak menjadi bengkak! (8:4).

Umat Tuhan tidak setia, tetapi Tuhan menunjukkan “kasih sayang[-Nya] yang besar,” dan tidak meninggalkan mereka (Nehemia 9:19, TB). “Mereka tidak kekurangan apa-apa pun” (ayat 21). Tuhan menyediakan perkara-perkara “besar”, seperti hadirat-Nya, bimbingan Roh Kudus-Nya, makanan dan air (ayat 19-20); serta perkara-perkara yang lebih “kecil” tetapi diperlukan, seperti pakaian dan kasut.

Tuhan menunjukkan kasih-Nya dengan cara yang mungkin kita terlepas pandang atau tidak sedari. Begitulah kasih-Nya sehingga Dia melihat setiap butir terperinci mengenai hidup kita.