“Tidak, kamu tak boleh pergi ke tasik,” kata saya kepada anak perempuan saya. Ketika itu kepala saya di bawah sinki kerana saya sedang membaiki paip yang rosak. “Ayah janji selepas saya siapkan kerja rumah, saya boleh pergi,” dia mengingatkan saya. Saya terlupa apa yang telah saya katakan kerana saya terlalu asyik dengan kerja pembaikan. Masalah saya membutakan saya untuk menepati janji saya.
Seperti peringatan anak perempuan saya kepada saya, pemazmur juga mengingatkan Tuhan tentang janji-janji-Nya. “Ingatlah firman-Mu kepada hamba-Mu,” tulisnya, “dengannya Engkau telah memberiku harapan” (119:49). Syukurlah kita tidak mempunyai Bapa Syurgawi yang selalu sibuk dan pelupa. Kita boleh datang kepada-Nya bukan sahaja dengan menyerahkan kesakitan, masalah, dan kekecewaan kita, tetapi juga dengan penuh keyakinan kerana mengetahui bahawa Dialah Bapa yang baik: “Inilah yang melipurkan aku dalam kesakitanku: Firman-Mu memberiku hidup” (ayat 50).
Tuhan mengajak kita untuk merenungkan firman-Nya supaya kita dapat mengingatkan Dia tentang janji-janji-Nya—bukan kerana Dia pelupa, tetapi kerana Dia ingin kita mengenal-Nya dengan akrab. Itulah sebabnya pemazmur berkata, “Aku ingat akan hukum-hukum-Mu dahulu, Ya TUHAN, dan aku melipurkan diriku … Ketetapan-Mu telah menjadi nyanyianku dalam perjalanan ibadatku” (ayat 52, 54).
Disebabkan perhatian saya teralih, anak perempuan saya perlu mengingatkan saya tentang janji saya. Apabila dia berbuat demikian, saya dengan senang hati mengizinkan dia pergi ke tasik. Kita bersyukur kerana Bapa kita yang di syurga tidak akan dialihkan perhatian atau terlalu sibuk. Dia berkenan untuk mendengar apabila kita berdoa dengan mengucapkan kembali firman-Nya kepada-Nya.
