Untuk menjadi seorang peguam di California, Maxcy Filer perlu lulus peperiksaan peguam selama tiga hari yang amat sukar di negeri itu. Jadi, dia mengambil peperiksaan tersebut bukan satu kali, bukan dua kali, tetapi empat puluh lapan kali sebelum lulus ujian yang susah itu. Matlamatnya? Untuk membela golongan kurang bernasib baik di Compton, bandar kesayangannya. Antara tahun-tahun dia menduduki peperiksaan percubaan pertama dan yang terakhir—merentasi masa dua puluh lima tahun—Filer dan isterinya membesarkan tujuh orang anak, semuanya melanjutkan pelajaran di universiti. Apabila Filer mengangkat sumpah sebagai peguam, hakim berkata: “Tiga patah perkataan tentang Maxcy Filer: kegigihan, kegigihan, kegigihan.”
Kisah Maxcy Filer mendorong saya untuk memikirkan orang yang gigih dalam Alkitab. Penulis kitab Ibrani menuliskan beberapa orang ini: Nuh, yang “mewarisi perbenaran menurut iman” (11:7). Atau Abraham, Ishak, Yakub (ayat 8-21), Musa (ayat 23-28), dan individu-individu lain. Contoh-contoh sedemikian memberikan inspirasi kepada kita.
Penulis kitab Ibrani kemudian menggesa orang yang percaya kepada Kristus: “Oleh itu kita juga, yang dikelilingi dengan sebegitu ramainya saksi, hendaklah menjauhi beban dan dosa yang amat mudah menjerat kita” (12:1). Kita seterusnya membaca, “[Kita] berlari dengan gigih dalam perlumbaan yang ditentukan bagi kita” (ayat 1). Bagaimanakah kita akan berbuat demikian? Dengan “mengarahkan mata kita kepada Yesus, Pelopor dan Penyempurna iman kita” (ayat 2). Apabila kita merenungkan pengorbanan Kristus untuk kita, kita “tidak berasa bosan dan tawar hati” (ayat 3).
Cabaran terhadap iman memberi kita peluang untuk bertahan diri dalam nama-Nya. Dalam kuasa-Nya, kita dapat menjadi gigih.
