Lillian Colón, yang dibesarkan di rumah anak yatim, telah mengalahkan 400 orang penari lain untuk terpilih menyertai sebuah kumpulan tarian terkenal dunia. Dia membuat persembahan bersama kumpulan itu, dengan koreografi (seni mencipta dan menggubah tari) yang tersusun dan serentak, sehingga usianya di pertengahan 40-an. Sekarang, pada usia 70 tahun, Lillian menjadi guru tarian. Pengajaran paling penting yang ingin disampaikannya kepada pelajar ialah kepentingan bekerjasama. Melalui tarian yang memerlukan pergerakan yang sangat teratur dan seiring, dia belajar bahawa kehidupan manusia saling berkait. Oleh itu, setiap kita akan hidup dengan lebih baik jika saling menyokong dan mengambil berat, bukan sahaja di atas pentas, tetapi juga dalam kehidupan seharian.

Rasul Paulus memahami kepentingan prinsip ini. Keharmonian dalam Kristus menyalurkan pujian kepada tujuan sebenar—memuliakan Tuhan. Paulus mengajarkan pelajaran ini kepada orang percaya di Rom untuk menggalakkan kesatuan, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi. Dia menulis, “Semoga Allah, yang memberikan kesabaran dan galakan, mengurniaimu perpaduan yang sama terhadap satu sama lain, menurut Kristus Yesus” (Roma 15:5). Ini kerana, “Dengan demikian dapatlah kamu dengan sebulat hati dan suara memuliakan Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus” (ayat 6).

Suara yang bersaing tidak akan mendatangkan kebaikan. Apabila kita memuji Tuhan dengan satu hati, tanpa mengabaikan seorang pun atau kumpulan yang lain, barulah kita dapat menunjukkan maksud sebenar untuk bersatu dalam Kristus. “Terimalah satu sama lain, sebagaimana Kristus telah menerima kita,” tulis Paulus, “demi kemuliaan Tuhan” (ayat 7). Apabila kita memohon pertolongan Tuhan untuk melakukan ini, Dia akan memberi ilham kepada kita saat kita melangkah bersama dan memuliakan-Nya.