Pada tahun 1869, pembinaan Jambatan Brooklyn dimulakan di Bandaraya New York. Sejurus selepas kerja-kerja pembinaan bermula, ketua jurutera Washington Roebling, jatuh sakit. Isterinya, Emily, datang untuk membantu. Dia mempelajari pelan lukisan suaminya, menyemak spesifikasi, dan memberi arahan kepada para pembantu jurutera. Emily membantu suaminya dengan segala cara yang termampu, dan apabila jambatan itu dirasmikan pada tahun 1883, dialah orang pertama yang menaiki kereta kuda untuk melintasi jambatan tersebut. Suaminya memuji bakat isterinya yang “luar biasa” dan “pengetahuannya yang mendalam tentang kerja dan rancangan tersebut.”
Kerjasama seperti ini sangat indah dan merupakan rahsia untuk memperoleh pekerjaan yang paling bermakna dalam hidup kita. Salomo menerangkan asas kerjasama dalam kitab Pengkhutbah: “Berdua lebih baik daripada bersendiri kerana mereka menerima upah yang baik atas penat lelah mereka. seandainya ada antara mereka yang jatuh, yang seorang lagi akan mengangkat temannya, tetapi malangnya orang yang jatuh dan tiada sesiapa untuk mengangkatnya! (Pengkhutbah 4:9-10). Paulus pula berkata bahawa kita harus melihat kerjasama sebagai kunci kepada pelayanan gereja: “Tetapi sekarang ada banyak anggota, namun kesemuanya dalam satu tubuh” (1 Korintus 12:20). Dia seterusnya menjelaskan bahawa tidak seharusnya ada “perpecahan dalam tubuh” (ayat 25), sebaliknya setiap orang melayani bersama-sama sambil memperhatikan satu sama lain.
Dalam pekerjaan, keluarga, mahupun kehidupan gereja, tidak seorang pun daripada kita berjalan sendirian. Kita memerlukan satu sama lain apabila seseorang tersandung, dan kita juga memerlukan satu sama lain untuk menggabungkan bakat dan kebolehan kita. Kerjasama amat penting ketika kita berusaha untuk melaksanakan apa yang dikehendaki Tuhan untuk kita lakukan.
Tolonglah aku supaya menjadi seorang penolong yang dapat membantu orang lain.
