Seorang wanita berjalan dengan berhati-hati, menaiki setiap anak tangga menuju ke ruang ibadah gereja untuk kebaktian doa pada malam itu. Ketika dia berhenti kerana kesakitan dan keletihan, seorang lelaki yang lalu berkata kepadanya, “Selangkah demi selangkah. Itulah caranya untuk sampai. Bertenang saja.” Kata-kata itu bertujuan untuk memberi semangat kepada wanita tersebut dan mungkin telah memberinya dorongan yang diperlukan untuk sampai ke tingkat atas. Kata-kata itu juga pasti telah menguatkan jiwa saya yang letih pada petang itu.

Dalam perjalanan iman kita, kita mudah berasa ingin berputus asa apabila jalan yang dilalui kelihatan terlalu panjang atau sukar. Namun, pada saat-saat seperti ini, kita dapat menikmati penghiburan daripada kata-kata nabi Yesaya untuk menguatkan orang Israel. Dia memberitahu mereka bahawa Tuhan akan membebaskan mereka daripada pembuangan selama berpuluhan tahun di Babel, dan dia mengingatkan mereka bahawa Tuhan bukan seperti berhala yang tidak berdaya (Yesaya 40:18-20). Tuhan Yang Maha Kuasa, yang menciptakan langit dan bumi, “tidak menjadi letih dan tidak menjadi lesu,” dan Dia memberi kekuatan kepada orang yang lemah (Yesaya 40:28-29). “Tetapi mereka yang menanti-nantikan Tuhan akan mendapat kekuatan baru. Mereka akan terbang tinggi dengan sayap seperti burung rajawali. Mereka akan berlari dan tidak menjadi penat, mereka akan berjalan dan tidak menjadi lesu” (ayat 31).

Kata-kata Yesaya telah menguatkan orang Israel, kita juga boleh menerima kekuatan daripada “Allah kekal” (ayat 28-29) yang sama, yang dipercayai mereka. Marilah kita berjalan dalam iman, hari demi hari dan langkah demi langkah. Selagi kita terus berharap kepada satu-satunya Tuhan yang benar, Dia akan menolong kita untuk berjalan, berlari dan terbang tinggi demi kemuliaan-Nya.