Semasa kecil, saya pernah membawa pulang kad laporan dengan semua gred S, yang bermaksud Satisfactory (memuaskan). Kakak saya, yang lima tahun lebih tua daripada saya, mendapat gred A dan B. Saya menyangka kad laporan saya membuktikan bahawa saya lebih pandai kerana saya fikir semua S itu sama seperti semua A. Kemudian abang saya mencadangkan satu ujian. Dia pergi ke rak buku ibu bapa kami dan mengambil sebuah buku. Dia meminta saya membaca satu petikan. Saya tergagap-gagap, hanya mengenal beberapa patah perkataan. Kakak saya pula membacanya dengan lancar. Kemudian abang saya memutuskan bahawa kakak sayalah yang paling pandai.

Pengajaran diperoleh. Ujian yang diberikannya ternyata bijaksana.

Orang Israel juga belajar tentang hikmat melalui Raja Salomo. Dua orang wanita telah melahirkan anak. Seorang bayi meninggal dunia apabila ibunya secara tidak sengaja “menindihnya” (1 Raja-Raja 3:19). Wanita itu kemudian cuba mengambil bayi yang masih hidup itu sebagai anaknya. Kedua-dua wanita itu pun datang menghadap Salomo untuk meminta keputusan siapa yang patut memelihara bayi itu. Apabila Salomo mendengar perkara tersebut, dia memerintahkan supaya bayi yang hidup itu dibelah dua supaya kedua-duanya boleh mendapat separuh daripada bayi tersebut (ayat 25).

Wanita yang bukan ibu sebenar bersetuju dengan perintah itu, tetapi ibu yang sebenar berkata, “Berikanlah bayi yang hidup itu kepadanya! Jangan bunuh dia!” (ayat 26). Apabila ibu tersebut bersuara untuk menyelamatkan anak itu, Salomo memutuskan bahawa dialah ibu yang sebenar dan memerintahkan supaya bayi itu dikembalikan kepadanya (ayat 27). Hikmat Salomo yang datang daripada Tuhan, nyata terlihat dalam situasi itu.

Apabila Tuhan menolong kita, perbuatan kita juga dapat menunjukkan kepada orang lain bahawa hikmat sejati adalah datang daripada-Nya (Amsal 2:6).