Setiap malam, Pieter mencium gambar ibu bapanya yang sudah lanjut usia. Sudah bertahun-tahun dia tidak dapat bersama mereka. Ini kerana sewaktu orang muda ini menjadi pengikut Yesus, keluarga serta komunitinya menekannya agar meninggalkan kepercayaan barunya. Apabila dia enggan, ibu bapanya memutuskan hubungan dengannya. “Dalam Alkitab, Tuhan berjanji akan menolong anak-anak-Nya pada masa kesukaran, dan aku percaya kepada-Nya,” kata Pieter. “Memilih untuk mengikut Dia membawa penderitaan, tetapi Dia telah menolong saya bertahan.”
Pieter mendapat kepastian daripada Tuhan bahawa Dia menepati janji-Nya, sehingga Pieter dapat hidup dengan penuh kepercayaan berdasarkan janji-janji itu. Dalam kitab Kejadian, kita membaca bahawa pada penghujung hidup Yusuf, dia juga yakin akan janji Tuhan. Dia berkata kepada saudara-saudaranya, “Ajalku hampir tiba, tetapi Allah pasti akan mendatangi kamu dan membawa kamu keluar dari negeri ini ke negeri yang dijanjikan-Nya dengan bersumpah kepada Abraham, Ishak, dan Yakub” (Kejadian 50:24). Yusuf yakin bahawa Tuhan akan menepati janji-Nya untuk membawa umat-Nya ke Kanaan. Oleh itu, dia memberi pesan kepada orang Israel, “Kamu mesti membawa tulang-tulangku keluar dari [Mesir]” (ayat 25).
Empat ratus tahun kemudian, semasa peristiwa keluaran dari Mesir, “Musa membawa bersama-sama tulang-tulang Yusuf” (Keluaran 13:19). Akhirnya, “tulang-tulang Yusuf yang dibawa oleh orang Israel dari Mesir itu dikebumikan di Sikhem [di Kanaan]” (Yosua 24:32).
Marilah kita meneladani iman Yusuf (Ibrani 11:22), dengan menunjukkan iman kita kepada janji-janji Tuhan melalui tindakan nyata.
Apakah langkah-langkah praktikal yang boleh anda ambil?
ILHAM
Penulis kitab Ibrani memuji Yusuf kerana dia mempercayai janji Tuhan bahawa dia akan membawa keluarganya keluar dari Mesir ke dalam tanah perjanjian: “Melalui iman Yusuf … telah menyebut pemergian kaum Israel dan berpesan tentang tulang-tulangnya” (Ibrani 11:22; rujuk Kejadian 50:24-25). Melalui pendamaian dengan saudara-saudarnya yang telah melakukan kejahatan terhadapnya, Yusuf menunjukkan bahawa Tuhan berdaulat dalam mengatur perjalanan hidup manusia. Kata-katanya, “Kamu berniat melakukan kejahatan terhadapku, tetapi Allah memaksudkan perbuatan kamu untuk tujuan yang baik” (Kejadian 50:20) seiring dengan kebenaran dalam Roma 8:28: “Kita tahu bahawa dalam semua hal Allah bekerja untuk kebaikan orang yang mengasihi-Nya, yang telah dipanggil menurut rancangan-Nya.” Seperti “TUHAN menyertai Yusuf” (Kejadian 39: 2, 23), kita juga boleh mempercayai janji-Nya bahawa Dia akan menyertai kita dan tidak akan meninggalkan kita: “Oleh itu, kita boleh berkata dengan bersemangat: ‘Tuhan Penolongku; Aku tidak akan takut’ ”(Ibrani 13:5-6; rujuk Mazmur 118:6-7).
