Sahabat saya, Alex, seorang editor buku, memeriksa peti masuknya. Dia menjangka akan menerima e-mel marah daripada seorang pengarang. Dia telah menyunting manuskrip seorang pemimpin perniagaan terkemuka selama berbulan-bulan. Namun tanpa diduga, pihak penerbit memutuskan untuk menghentikan penerbitan buku itu atas masalah syarikat. Selepas menghantar e-mel yang menyampaikan berita buruk itu kepada pengarang, Alex menunggu balasan pengarang itu dengan bimbang.
Seminggu kemudian, satu balasan e-mel masuk. “Saya tidak menjawab dengan segera kerana saya ingin memikirkan kata-kata saya terlebih dahulu dan bagaimana untuk memberi respons,” tulis pengarang itu. Dia meluahkan rasa kecewa, kemudian dengan tenang menyatakan pendapatnya tentang bagaimana pihak penerbit sepatutnya menangani isu tersebut.
Respons pengarang yang bijak dan berhati-hati itu, meninggalkan kesan yang mendalam kepada saya. Tingkah lakunya mencerminkan apa yang dikatakan dalam Alkitab tentang cara komunikasi yang sepatutnya, terutamanya ketika kita marah. Rasul Yakobus memberitahu kita untuk “mengekang lidah [kita]” kerana betapa mudahnya berdosa dengan kata-kata kita (Yakobus 1:26; rujuk 3:5-6). Mendengar orang lain sepatutnya menjadi keutamaan supaya kita dapat memahami mereka, memilih kata-kata dengan bijak, dan mempertimbangkan sama ada perlu untuk menjadi marah (1:19).
Mengawal kata-kata bukan sahaja membantu kita mengelakkan dosa dan membenarkan Alkitab mengubah kita (ayat 21), tetapi juga mencerminkan siapa Tuhan itu kepada orang lain: “TUHAN penuh belas kasihan dan kasih kurnia, panjang sabar serta melimpah kasih-Nya” (Mazmur 103:8). Marilah kita mencontohi Tuhan yang penuh kasih melalui kata-kata kita—dan apabila perlu, diam seribu bahasa.
ILHAM
Kitab Yakobus mengulangi beberapa tema utama yang diperkenalkan dalam fasal pertama dan dikembangkan sepanjang surat tersebut. Salah satu tema ini ialah lidah, atau cara kita menggunakan kata-kata. Yakobus membandingkan lidah dengan kemudi, api, kekang kuda, dan racun (3:1-12). Ini menunjukkan betapa besar pengaruh kata-kata yang kita ucapkan. Oleh itu, lidah perlu diawasi, terutama mereka yang mengajar orang lain (ayat 1-2). Namun, Yakobus juga mengakui bahawa lidah sangat sukar dikawal, dan hanya sedikit orang yang benar-benar dapat menguasainya (ayat 8). Sebab itu, amat penting apabila seseorang “cepat mendengar, lambat bercakap, dan lambat menjadi marah” (1:19). Kata-kata yang memuliakan Tuhan ibarat mata air yang melimpah dengan “pujian” dan bukannya “kutukan” (3:9-10) dan “melakukan perbuatan yang benar dan diredai Allah” (1:20). Kehidupan benar begini disifatkan oleh hikmat syurgawi , yang “bersifat murni, mencintai kedamaian, lemah lembut dan ramah-tamah, bersikap belas kasihan serta mengamalkan segala jenis perbuatan baik, Dia tidak bersikap berat sebelah dan tidak munafik atau bertalam dua muka. Kebenaran adalah hasil daripada benih kedamaian yang disemaikan oleh orang yang mencintai kedamaian” (3:17-18).Tim Laniak
