Selepas diberhentikan kerja tanpa sebarang notis awal, Wil menjadi begitu murung sehingga dia minta dimasukkan ke sebuah pusat rawatan kesihatan mental. Kemudian pada suatu hari, selepas berminggu-minggu tanpa sebarang perkembangan positif, dia bersiar-siar di halaman luar seperti biasa. Ahli terapinya ternampak dia dan berkata, “Saya rasa saya akan sampai ke bilik komuniti lebih cepat daripada awak.” katanya dengan tersenyum. Wil mengimbas kembali, “Tindakan kecil itu menyalakan semangat dalam diri saya.” Tiba-tiba dia merasakan dirinya mempunyai tujuan. Dia pun berjalan laju, berlumba dengan ahli terapinya ke bilik itu dan menang. Tanpa disangkanya, mempunyai satu matlamat yang memberi inspirasi serta berjaya mencapainya telah memberinya harapan—kunci utama kepada pemulihannya pada masa kemudian.

Rasul Paulus memahami kuasa matlamat yang jelas. “Aku hendak mengenal [Kristus],” katanya kepada jemaah (Filipi 3:10). Dia ingin mengetahui kuasa kebangkitan Yesus, kerana kuasa itu akan menolongnya menjadi semakin serupa dengan-Nya. Untuk mencapai matlamat itu, Paulus mengikuti satu strategi: “Melupakan segala yang di belakang dan cuba mendapatkan segala yang di hadapan, aku terus berusaha ke arah matlamat mendapatkan ganjaran, iaitu panggilan Allah ke syurga dalam Kristus Yesus” (ayat 13-14). Adakah anda berasa seolah-olah sedang ketinggalan atau tidak mencapai sasaran? Tuhan menolong kita memfokuskan semula matlamat kita apabila kita hidup sesuai dengan apa “yang telah kita capai” dalam Kristus (ayat 16).

Oleh itu, matlamat Paulus tidak tertumpu pada perkara duniawi. Dia tahu bahawa “kewargaan kita adalah di syurga” (ayat 20). Dengan melihat segala sesuatu dari perspektif kekal ini, kita mendapat harapan baharu untuk bertumbuh dan hidup dengan baik di dalam Kristus.