Sesuatu kejadian yang luar biasa telah berlaku kepada pasangan Alba—dua pasang kembar seiras mereka dilahirkan hanya selang tiga belas bulan. Bagaimanakah mereka mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu bapa serta pekerjaan mereka? Komuniti mereka, rakan-rakan dan keluarga mereka turut serta membantu. Datuk dan nenek di kedua-dua belah pihak menjaga satu pasang kembar masing-masing pada siang hari supaya ibu bapa ini dapat bekerja dan membayar insurans kesihatan. Sebuah syarikat memberikan bekalan lampin selama setahun. Rakan-rakan sekerja pasangan itu pula menyumbangkan cuti sakit peribadi mereka. “Kalau tiada bantuan daripada komuniti, kami berdua pasti tidak dapat menjaga dua pasang anak kembar sambil bekerja,” kata mereka. Malah, semasa temu bual disiarkan langsung, hos itu harus meletakkan mikrofonnya dan mengejar salah seorang anak kecil mereka yang berlarian, agar mereka boleh meneruskan temu bual itu!

Dalam Matius 25:31-46, Yesus menceritakan sebuah perumpamaan untuk menjelaskan bahawa apabila kita melayani orang lain, kita melayani Tuhan. Selepas Yesus menyebut senarai tindakan pelayanan, termasuk menyediakan makanan kepada yang lapar, minuman kepada yang dahaga, penginapan bagi yang tiada tempat tinggal, pakaian bagi yang telanjang, dan penyembuhan bagi yang sakit (ayat 35-36), Dia menyimpulkan, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apabila kamu melakukannya kepada yang paling kecil antara saudara-Ku ini, ertinya kamu melakukannya kepada-Ku” (ayat 40).

Bayangkan pengaruhnya jika melayani Yesus menjadi motivasi sebenar kita untuk melayani kejiranan, keluarga, gereja, dan dunia kita. Apabila Dia menggesa kita berkorban demi memenuhi keperluan orang lain, kita melayani Dia. Apabila kita mengasihi orang lain, kita mengasihi Tuhan.