Seorang pastor berbangsa Afrika yang namanya tidak dinyatakan telah menuliskan, “Doa Seorang Martir”, sebelum dia mati sebagai seorang martir kerana mempertahankan imannya kepada Yesus. Mesej yang mendalam dari era silam ini kini dikenali sebagai “Persekutuan Orang yang Tidak Malu.”
Kata-kata pastor ini merupakan satu cabaran kepada semua orang yang percaya kepada Yesus—cabaran yang menyampaikan mesej yang serupa dengan kata-kata rasul Paulus, yang pernah ditulisnya dalam suratnya kepada sahabatnya Timotius yang masih muda: “Janganlah berasa malu untuk memberikan kesaksian tentang Tuhan kita” (2 Timotius 1:8) kerana Roh Kudus memberi kita “kuasa, kasih dan tatatertib” (ayat 7).
Berikut adalah sebahagian yang ditulis oleh pastor Afrika yang setia itu: “Saya adalah sebahagian daripada persekutuan orang yang tidak malu akan Tuhanku. Saya telah membuat keputusan ini: Saya adalah murid [Yesus] dan tidak akan mundur, mengalah, berlambatan, menjauh atau berdiam. Masa lalu saya telah ditebus. Masa kini saya penuh makna. Masa depan saya terjamin (selamat) … Saya hidup dengan iman, bersandar pada hadirat-Nya, berjalan dengan kesabaran, bangkit dengan doa, dan bekerja keras dengan kuasa Roh Kudus.”
Timotius dan pastor tersebut menghadapi kesukaran yang mungkin tidak pernah kita alami, namun kata-kata mereka mencabar kita untuk berdiri teguh apabila iman kita diuji. Kita boleh tetap tidak malu kerana Tuhan “dapat memelihara apa yang kuserahkan kepada-Nya” (ayat 12)—hidup kita dan masa depan kita.