Salah satu kenangan zaman kanak-kanak yang tidak dapat dilupakan bagi anak perempuan saya ialah pada hari ayahnya mengajar dia menunggang basikal tanpa roda sokongan. Pada satu ketika semasa di luar, suami saya meletakkan kakinya di hab roda belakang basikal (manakala anak saya meletakkan kakinya di atas kayuh dan mereka berkongsi pemegang) supaya mereka boleh meluncur turun cerun kecil bersama-sama. Dia masih ingat ayahnya ketawa terbahak-bahak—satu kontras yang ketara dengan pengalamannya yang menakutkan pada ketika itu. Kayuhan itu sangat singkat kerana semuanya berlaku terlalu pantas bagi suami saya untuk berhenti sejenak dan memahami ketakutan anaknya. Apabila mereka mengimbas kembali kejadian itu pada hari ini, suami saya selalu dengan lembut membalas dan meyakinkannya bahawa dia tahu semuanya akan baik-baik saja.

Kisah mereka merupakan satu kiasan yang tepat bagi waktu apabila kita juga mengalami ketakutan dalam hidup. “Bukit-bukit” itu mungkin kelihatan besar dan menakutkan dari sudut pandangan kita, malah ada risiko bahaya yang nyata. Namun, Kitab Suci meyakinkan kita bahawa kerana “TUHAN memihak kepada [kita],” kita tidak perlu “takut” (Mazmur 118:6). Walaupun manusia mungkin akan gagal untuk menolong kita, tetapi Tuhan kita ialah pelindung yang boleh dipercayai apabila kita berasa terbeban oleh pergelutan kita dalam hidup (ayat 8-9).

Tuhan ialah “penyokong” kita (ayat 7), maksudnya kita boleh percaya bahawa Dia akan menjaga kita pada waktu hidup kita yang paling mencabar dan menakutkan. Meskipun kita mungkin akan mengalami kegagalan, kekecewan, dan kesedihan, Tuhan selalu menyertai kita. Dia selalu menyelamatkan, memberi kita “kekuatan” dan “pertahanan” (ayat 14).