Tasek Coniston di Daerah Tasik England yang indah ialah satu tempat percutian kegemaran bagi banyak keluarga di UK. Perairannya sangat sesuai untuk berperahu, berenang, dan sukan-sukan air yang lain. Namun, tempat yang indah itu juga adalah satu lokasi tragedi besar. Pada tahun 1967, Donald Campbell memandu kapal hidro Bluebird K7, dan cuba memecahkan rekod kelajuan air dunia. Dia mencapai kelajuan maksimum 528 km sejam, tetapi dia tidak sempat meraikan kejayaannya kerana Bluebird terhempas, dan Campbell terbunuh.
Saat tragis boleh berlaku di tempat yang indah. Dalam Kejadian fasal 2, Pencipta “mengambil manusia itu dan menempatkannya di dalam Taman Eden untuk mengerjakan serta memelihara taman itu” (ayat 15). Taman itu merupakan satu karya agung, namun apabila ditempatkan di dalam syurga ini, lelaki dan perempuan tersebut mengingkari Tuhan, membawa dosa dan kematian ke dalam ciptaan-Nya (3:6-7). Hari ini, kita masih melihat kesan kemusnahan daripada pilihan tragik mereka.
Tetapi Yesus datang ke bumi ini, memberi kehidupan kepada kita yang telah mati dalam dosa kita sendiri. Seperti yang ditulis oleh rasul Paulus, “Sebagaimana melalui pelanggaran oleh seorang manusia [Adam], ramai telah menjadi orang berdosa, maka melalui ketaatan seorang Manusia [Yesus Kristus], ramai akan diperbenar” (Roma 5:19). Kerana Yesus, rumah terindah yang kita akan pulang kelak sedang menantikan kita.
Tragedi mungkin berlaku dalam keindahan. Namun dengan kasih kurnia Tuhan, daripada tragedi lahirlah keindahan yang abadi.