Sebagai seorang wartawan muda, saya cepat belajar tentang kuasa “pas media.” Kad pengenalan tersebut memaparkan nama, gambar, dan agensi berita saya—memberikan saya akses untuk bertemu dan menemu ramah atlet serta selebriti sebelum atau selepas acara-acara besar.
Namun, selepas saya menerima Yesus sebagai Penyelamat, saya sedar bahawa sukan dan kerjaya saya telah menjadi berhala dalam hidup saya. Apabila saya mengikut panggilan Tuhan ke arah lain, saya harus menyerahkan pas media saya, tetapi saya mendapat akses kepada takhta syurga Tuhan melalui doa—oleh sebab pengorbanan dan kebangkitan Yesus.
Penulis kitab Ibrani menjelaskan bahawa seorang imam besar dipilih daripada kalangan bangsa Israel, khususnya daripada keturunan Harun, untuk mewakili umat manusia di hadapan Tuhan. Hanya dia yang dibenarkan untuk masuk ke dalam Tempat Ruang Maha Kudus di dalam Bait Suci sekali setahun, “untuk memberikan persembahan dan korban”, menghapuskan dosa dirinya dan dosa umat (Ibrani 5:1), kerana dia juga adalah manusia berdosa.
Kemudian datanglah Kristus, Imam Agung kita yang sempurna. Ketika Dia mati, tirai Bait Suci terbelah dua, dan penghalang di antara Tuhan dan manusia telah dihapuskan (Matius 27:51).
Oleh sebab Penebus yang penuh kasih itu telah mendamaikan kita dengan Bapa-Nya, maka kita boleh berdoa kepada Tuhan dengan bebas: “Oleh itu, marilah kita tampil dengan berani ke hadapan takhta kasih kurnia, supaya kita mendapat belas kasihan dan kasih kurnia untuk menolong kita ketika kita memerlukannya” (Ibrani 4:16).
Betapa besarnya keistimewaan untuk mendapat akses ke takhta Tuhan, apabila kita berbicara dengan-Nya dalam doa.