David Uttal ialah seorang saintis kognitif yang mengkaji cara manusia menentukan arah, tetapi dia sendiri menghadapi kesukaran untuk mencari arah di kawasan tertentu. Masalah ini bukanlah sesuatu yang baru baginya, kerana ketika dia berumur 13 tahun, dia pernah sesat selama dua setengah hari semasa mendaki. Uttal mengaku bahawa dia masih tidak pandai mengikuti arah mudah dalam kehidupan. Sesetengah orang memang secara semula jadi pandai menavigasi—tahu dengan tepat di mana mereka berada dan bagaimana untuk pergi ke tempat yang ditujui. Namun bagi orang lain, seperti Uttal, mereka mudah sesat walaupun diberikan arah yang jelas.
Pemazmur juga pernah merasakan kekeliruan kerana tersesat: “Aku telah tersesat seperti domba yang hilang. Carilah hamba-Mu, kerana aku tidak melupakan perintah-perintah-Mu” (Mazmur 119:176). Dia menyamakan dirinya seperti domba yang tersesat. Walaupun setiap ekor domba haiwan itu bernilai, binatang ini kadang-kadang tidak ikut arahan bahkan cenderung berjalan jauh daripada gembala mereka dan perlu diselamatkan. Keupayaan pemazmur untuk menilai arah rohani telah lemah, dan dia kehilangan haluan rohaninya, jadi dia memerlukan Tuhan untuk mencarinya dan memberinya “pengertian menurut firman-[Nya]” (ayat 169).
Apabila kita jauh daripada penjagaan Tuhan, Dia sangat mengasihi kita sehingga sanggup mencari dan membawa kita kembali kepada-Nya. Dengan pertolongan-Nya, kita boleh mengerti firman-Nya dan mengikuti “semua perintah-[Nya]” (ayat 172) supaya tidak sesat secara rohani.