Charles telah terjerumus dalam kemurungan. Walaupun dia mempunyai keluarga yang penyayang, dia tetap berasa sangat kesunyian. “Saya semakin merasakan beban untuk menyara keluarga,” katanya, “dan saya pernah terfikir untuk menamatkan hidup saya.” Ini mungkin mengejutkan orang, kerana Charles Morris ialah seorang pemimpin dalam sebuah organisasi Kristian.

Seorang rakan yang bijak menasihatkannya ketika dia berasa murung, “Apa kata kita membaca kitab Mazmur dengan sungguh-sungguh dan mendalamiya?” Akhirnya Charles keluar daripada kedukaannya yang serius dengan membaca petikan-petikan Alkitab yang menyentuh hatinya, mendapatkan rawatan perubatan terbaik, dan meluahkan isi hatinya kepada Tuhan.

Mazmur sering kali sangat jujur dan terbuka. Heman orang Ezrahi menulis salah satu mazmur yang paling pahit. Harapan hanya disebut di ayat pertama: “Ya TUHAN, Allah yang menyelamatkanku” (Mazmur 88:1). Selebihnya, Heman seolah-olah menuduh Tuhan: “Engkau telah meletakkan aku di kubur paling dalam” (ayat 6). “Kemurkaan-Mu berat menekanku” (ayat 7). Dia juga bertanya, “Ya TUHAN, mengapa Kau singkirkan jiwaku, mengapa Kau sembunyikan wajah-Mu daripadaku?” (ayat 14).Kebanyakan mazmur berakhir dengan harapan—tetapi bukan mazmur ini. Heman menutup dengan kata, “hanya kegelapan yang menemani aku” (ayat 19, TMV). Inilah doa daripada seorang yang benar-benar terdesak. Namun, Heman tetap meluahkan segala kepedihannya kepada Tuhan.

Apabila kita membaca mazmur seperti ini, kita sedar bahawa kita bukan bersendirian. Orang lain juga pernah berasa putus asa dan berani meluahkannya. Tuhan menerima curahan hati Heman yang jujur. Dia juga akan menerima curahan hati anda. Dia ada bersama dengan kita, dan Dia sedang mendengarkan kita.