Jika anda dapat mendaki Air Terjun Sungai Dunn di Jamaica, ini akan menjadi satu pengalaman yang sangat menyeronokkan. Air melata dan jatuh di atas batu-batu licin sebelum sampai ke Laut Caribbean. Ia satu cabaran apabila para pendaki perlu melawan aliran air untuk naik ke puncak. Bagi seorang remaja bernama JW, hal itu hampir mustahil. Dia mengalami masalah penglihatan dan hanya dapat melihat dunia melalui satu titik kecil.

Namun, JW bertekad untuk mendaki, dan rakannya, Josiah, sanggup membantu. Josiah menjadi mata untuk JW—memberitahu batu mana yang licin dan di mana dia harus meletakkan tangan dan kakinya. JW pula menjadi semangat Josiah—menunjukkan keberanian yang sebenar.

Banyak perkara dalam hidup kita juga seperti mendaki air terjun itu: kita tidak sepatutnya berjalan sendirian. Raja Salomo mengingatkan kita: “Berdua lebih baik daripada bersendiri kerana mereka menerima upah yang baik atas penat lelah mereka” (Pengkhutbah 4:9). Josiah dan JW sedang mencuba sesuatu yang istimewa—dan mereka hanya berjaya kerana bekerjasama. Ayat seterusnya berkata: “Seandainya ada antara mereka yang jatuh, yang seorang lagi akan mengangkat temannya” (ayat 10). Namun, tiada siapa yang jatuh dan tiada siapa yang gagal. Bersama-sama, mereka mencapai matlamat mereka.

Inilah reka bentuk Tuhan untuk manusia, seperti yang dijelaskan oleh Salomo dan ditunjukkan oleh dua remaja ini: kita perlu bekerjasama. Tugasan yang diberikan Tuhan kepada kita adalah lebih baik dilakukan bersama dengan orang lain—masing-masing menggunakan kemahiran dan sifat yang dikurniakan oleh Tuhan untuk menghasilkan sesuatu yang memuliakan Dia.