Pada awal tahun 1930-an, Cleo McVicker menghasilkan produk yang boleh digunakan sebagai pembersih kertas dinding. Pada masa itu, kebanyakan rumah dipanaskan dengan arang batu, dan dinding menjadi hitam dengan jelaga. Ciptaan Cleo dapat digolekkan di atas kertas dinding untuk membersihkan kotoran itu. Namun, produk itu tidak pernah menjadi popular. Beberapa dekad kemudian, seorang guru menggunakannya dalam kelas untuk membuat perhiasan Krismas. Dari situ, lahirlah sebuah syarikat baru—Rainbow Crafts—dan pembersih kertas dinding itu digunakan semula sebagai tanah liat mainan kanak-kanak yang berwarna-warni dan boleh membuat pelbagai bentuk kreatif: “Play-Doh.”

Dalam skala yang jauh lebih besar, Tuhan juga mempunyai cara untuk menggunakan semula hidup seseorang. Kita ingat kisah dalam Alkitab tentang Yusuf dan “jubah beraneka warnanya.” Semasa muda, dia hanyalah seorang pengembala bahkan dijual sebagai hamba oleh saudara-saudaranya. Namun, Tuhan memimpin Yusuf melalui banyak kesusahan sehingga dia menjadi pemimpin tinggi dalam kerajaan. Akhirnya, Yusuf “digunakan semula” sebagai “pemerintah ke atas seluruh Tanah Mesir” (Kejadian 45:26). Panggilan hidup Yusuf bukan tentang kuasa, tetapi tentang kasih kurnia—ditunjukkannya apabila dia mengampuni saudara-saudaranya (ayat 15).

Dalam erti kata lain, setiap kita adalah “produk yang gagal.” Namun, melalui “kasih kurnia Anak Tuhan,” iaitu Yesus, kita digunakan semula untuk tujuan yang lebih besar. Semasa anda menjalani kehidupan hari ini, fikirkan tujuan hidup anda yang lebih tinggi dan ingatlah untuk menunjukkan kasih kurnia kepada orang lain, seperti yang Kristus telah lakukan kepada kita.