Diognetus, seorang pagan pada abad kedua, menyedari bahawa pengikut Kristus ”hari demi hari semakin bertambah”. Ini berlaku walaupun mereka sering dianiaya oleh kekuasaan Rom. Dia bertanya kepada seorang yang percaya kepada Yesus mengapa hal ini berlaku. Dalam dokumen yang kita kenali sebagai Surat kepada Diognetus (Letter to Diognetus), bapa gereja awal itu menjawab, “Tidakkah kamu nampak bahawa semakin banyak orang Kristian dianiaya, semakin bertambah bilangannya? Ini nampaknya bukan hasil usaha manusia: ini adalah disebabkan oleh kuasa Tuhan.”
Semasa Yesus memberikan kata-kata terakhir-Nya kepada murid-murid-Nya sebelum naik ke syurga, mereka mungkin tidak dapat membayangkan pertumbuhan gereja yang akan berlaku pada abad-abad yang akan datang. Dia berkata kepada mereka, “Pergilah, jadikan semua bangsa murid-Ku. Baptislah mereka dengan nama Bapa dan Anak dan Roh Kudus” (Matius 28:19). Ayat ini dikenali sebagai Amanat Agung. Namun, penggunaan istilah ini kadangkala membuatkan kata-kata terakhir Kristus terasa sebagai satu beban. Sebenarnya, inilah panggilan Yesus kepada semua orang yang mengikut-Nya: Semasa kita menjalani kehidupan seharian, jadikanlah orang lain pengikut-Nya. Kita tidak perlu pergi sampai ke hujung bumi; berita baik itu akan tersebar ke mana sahaja kita membawanya bersama kita.
Jangan berputus asa dengan kesukaran yang sedang dihadapi. Yesus juga berkata, “Aku akan sentiasa bersamamu, hingga ke akhir zaman” (ayat 20). Kita membawa Dia bersama kita ke mana sahaja kita pergi.
