Sambutan hari jadi Rosie tidak dapat dilupakan. Makanannya lazat, gurauan di meja amat menyeronokkan, dan kehadiran cucu pertamanya menjadi penyeri yang sempurna! Bagaimanapun, perkara-perkara baik ini tidak setanding dengan penghargaan yang diberikan oleh dua orang anak lelakinya. Walaupun perkahwinan Rosie tidak berkekalan, kecekapannya yang luar biasa sebagai ibu tunggal sangat mempengaruhi kehidupan anak-anaknya. Kata-kata pujian mereka menggambarkan segala usaha Rosie untuk menyediakan keperluan mereka. Ucapan anak bongsunya paling tepat menggambarkan teladan Rosie kepada mereka: “Dia seorang wanita yang takut kepada Tuhan.”

Dalam Amsal 31:10-31, para pembaca diperlihatkan bagaimana hikmat yang berpandukan takut akan Tuhan ditunjukkan dalam konteks rumah tangga. “Takut kepada TUHAN” (ayat 30), merupakan penghormatan yang rendah hati kepada Tuhan, mendorong seseorang menjadi orang yang boleh dipercayai (ayat 11-12), rajin dan berjimat cermat (ayat 13-19). Dan, walaupun wanita bijak memiliki sikap yang “mengutamakan keluarga” (ayat 21-28), itu tidak bermaksud sikap seperti ini ditunjukkan “dalam keluarga sahaja.” Mereka juga memprihatikan keperluan orang lain (ayat 20).

Seperti Rosie, gaya hidup wanita yang takut kepada Tuhan adalah disedari—terutamanya oleh mereka yang tinggal bersama dengannya (ayat 28). Tidak hairanlah apabila orang yang paling rapat dengannya akan memuji dan menghargainya. Ingin menjadi pengikut Yesus yang takut akan Tuhan? Mohonlah pertolongan-Nya. Jangan terkejut apabila doa-doa anda dimakbulkan—walaupun dalam keadaan yang mencabar.