Salah satu kebakaran hutan paling dahsyat dalam sejarah Amerika Syarikat telah memusnahkan bandar Lahaina, Hawaii, pada Ogos 2023. Seramai sembilan puluh sembilan orang kehilangan nyawa, dan lebih daripada dua ribu buah bangunan termusnah. Ketika penduduk masih dalam keadaan trauma akibat kemusnahan tersebut, mereka turut mengalami penderitaan tambahan apabila beberapa penjarah merampas bangunan dan ejen hartanah yang tamak cuba mengambil kesempatan untuk membeli tanah mereka secara licik.
Niat jahat untuk mengambil kesempatan daripada keadaan yang menyedihkan menjadi latar bagi satu mesej keras daripada Tuhan kepada bangsa Edom. Nabi Obaja memberi amaran kepada orang Edom, musuh Israel selama beberapa generasi (Yehezkiel 35:5), tentang penghukuman Tuhan yang bakal menimpa Edom. Bangsa Edom telah menggunakan kedudukan geografi mereka (Obaja 1:3) kekayaan (ayat 6), pakatan dengan bangsa lain (ayat 7), kebijaksanaan (ayat 8), dan kekuatan tentera (ayat 9) untuk menindas mereka yang lemah. Obaja juga mengecam sikap bongkak Edom ketika Israel dibawa ke pembuangan. Edom tidak menunjukkan belas kasihan, sebaliknya mereka menjarah rumah-rumah orang Israel dan berarak dengan angkuh semasa melalui kota-kota yang telah dikalahkan (ayat 12-13).
Walaupun penduduk Lahaina menyaksikan tindakan yang keji, mereka juga mengalami kebaikan apabila gereja-gereja di pulau itu menjadi pusat bantuan yang menyediakan tempat perlindungan, makanan panas, dan bekalan kecemasan.
Apabila ada orang sedang menderita, kita juga menghadapi pilihan yang sama. Kita boleh cuba mengambil kesempatan atas kesusahan mereka, atau kita boleh memberi respons dengan cara yang dikehendaki Tuhan, iaitu menghulurkan kebaikan dan kemurahan hati seperti yang ditunjukkan oleh gereja-gereja di Lahaina.
