Hari Ke-1: Penyelamat Manusia

Hari Ke-1: Penyelamat Manusia

Bacaan Alkitab: Lukas 1:39-56
Malaikat Gabriel telah mengumumkan kelahiran dua orang anak lelaki. Seorang merupakan nabi Tuhan, iaitu Yohanes (ayat 76), dan seorang lagi Anak Tuhan, iaitu Yesus (ayat 32, 35). Seorang akan mengisytiharkan penyelamatan (ayat 17, 76), seorang lagi akan membawa penyelamatan (ayat 46-55, 68-75).

Sebelum dilahirkan, anak lelaki Elisabet sudah memulakan pelayanannya untuk menunjukkan orang lain tentang kebesaran Yesus. Pada saat dia terbentuk dalam kandungan ibunya, Yohanes sudah dikuasai oleh Roh Kudus (ayat 15), yang mempunyai peranan untuk bersaksi tentang Yesus (Yohanes 15:26). Kemudian, Yohanes akan memperkenalkan Yesus kepada dunia, lalu mengakui bahawa “Aku membaptis kamu dengan air, tetapi Dia yang lebih besar daripadaku akan datang. Aku pun tidak layak mengurai tali kasut-Nya. Dia akan membaptis kamu dengan Roh Allah dan api” (Lukas 3:16).

Karya kenabian ini bermula sejak dalam kandungan ibunya! Inilah sesuatu yang akan kita lihat berkali-kali dalam Injil Lukas: orang yang dikuasai oleh Roh Kudus mengenal Yesus lalu memberi-Nya kemuliaan dan hormat (2:25-32, 36-38). Jika seorang dikuasai oleh Roh Tuhan, tanda pertama ialah mereka akan mengakui dan menyembah Yesus. Roh Tuhan ialah Roh Kristus, dengan hadirat Roh ini, Kristus dimuliakan. Kemudian Maria memuji Tuhan kerana Dia membawa penyelamatan yang dinanti-nantikan (ayat 46-55). Dalam lagu indah ini, Maria memuji Tuhan dan memberitakan mesej Injil! Sudah tentu itulah yang disampaikan oleh semua lagu pujian yang hebat. Maria bersukacita kerana dalam Yesus, penyelamatan sudah datang. Penyelamatan ini biasanya disambut oleh orang yang miskin dan rendah hati—mereka yang menyedari bahawa mereka amat memerlukan kasih kurnia Tuhan (ayat 52-53).

Inilah penggenapan semua janji dalam Perjanjian Lama, yang bermula daripada cerita Abraham. Di sini terdapat dua contoh respons yang kita boleh berikan kepada Yesus. Seperti Yohanes, kita yang merupakan umat yang dikuasai oleh Roh Kudus akan bersaksi tentang kebesaran Yesus. Seperti Maria, kita akan menyembah Tuhan kerana belas kasihan-Nya kepada kita yang miskin secara rohani dan memerlukan Yesus, Penyelamat kita.

Renungkan: Nyanyian pujian Maria (ayat 46-55) menunjukkan bahawa kebaikan Tuhan kepadanya ialah gambaran kebaikan-Nya terhadap umat-Nya, Israel. Apakah aspek kehidupan kita yang juga mengalami belas kasihan Tuhan yang sama?

Halaman Utama

Rancangan Pembacaan seterusnya: Jamuan Paska
1|2|3|4|5