Hari Ke-5: Kristus Telah Bangkit!

Hari Ke-5: Kristus Telah Bangkit!

Bacaan Alkitab: Lukas 24:1–12
Selama 2,000 tahun, orang Kristian telah bangun pada pagi hari Easter dengan sukacita, sambil berseru, “Kristus telah bangkit!” Namun, pada pagi pertama itu, sikap pengikut-pengikut Yesus mungkin tidak sama. Mereka bangun dengan penuh kesedihan (Lukas 24:17; Markus 16:10) kerana jenazah Yesus tiada di sana. Pada saat mereka sampai, segala sesuatu adalah mengelirukan. Batu penutup kubur yang besar sudah digulingkan. Jenazah Yesus tidak kelihatan. Malaikat muncul. Tiada apa-apa yang masuk akal bagi mereka. Kemudian utusan Tuhan berkata, “Dia tidak ada di sini; Dia sudah bangkit! Ingatlah akan apa yang telah dikatakan-Nya kepada kamu sewaktu Dia di Galilea” (ayat 6).

Apabila melihat kubur yang kosong dan mendengar kata-kata Tuhan, mereka mula memahami. Para pengikut yang lain enggan percaya kepada kesaksian para wanita itu. Pengikut-pengikut yang hancur hati menolak kesaksian para wanita itu bahawa Yesus sudah bangkit daripada kematian, dan menganggap hal itu karut. Mereka tahu bahawa ada kebangkitan umum pada akhir zaman, tetapi sudah pasti tiada orang akan bangkit sebelum itu. Tiada orang pernah mendengar tentang Mesias yang disalib lalu bangkit daripada kematian. Namun, Petrus menunjukkan tanda-tanda pertama iman dalam kebangkitan Yesus (ayat 12). Dia sudah memulakan perjalanannya ke arah pemulihan dan penebusan.

Salib ialah jawapan “tidak” daripada dunia terhadap pernyataan bahawa Yesus ialah Penyelamat dan Tuhan. Sebaliknya, Tuhan mengakui pernyataan itu dengan membangkitkan Yesus daripada kematian. Kebangkitan Yesus juga menjadi jaminan kita bahawa seperti Dia, kita akan bangkit daripada kematian, dan menerima tubuh yang tidak fana, tidak binasa dan kekal memerintah dengan-Nya (1 Korintus 15:20, 42-44; 2 Timotius 2:12). Tuhan akan membawa kita, yakni anak-anak-Nya kepada hidup kekal seperti dilakukan-Nya kepada Anak-Nya, Yesus.

Renungkan: Jika seseorang bertanya anda bagaimana anda tahu bahawa Yesus benar-benar bangkit daripada kematian, apakah yang akan anda katakan?