Hari Ke-2: Jamuan Paska

Hari Ke-2: Jamuan Paska

Bacaan Alkitab: Lukas 22:1–23
Sejak permulaan pelayanan Yesus, pemimpin Yahudi telah berkomplot melawan Yesus (lihat Lukas 6:11), dan sekarang mereka sedang mencari peluang untuk membunuh-Nya. Mereka berasa gembira apabila salah seorang pengikut-Nya sendiri membuat keputusan untuk mengkhianati-Nya (ayat 3-6). Lukas memberi kita dua sebab mengenai pengkhianatan ini. “Kemudian Iblis memasuki Yudas yang disebut Iskariot, seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus” (ayat 3). Kerja terbesar Iblis adalah menghancurkan misi Anak Tuhan, dengan demikian merosakkan segala yang sedang dilakukan oleh Tuhan untuk membawa penyelamatan kepada dunia. Namun itu tidak mengurangkan tanggungjawab Yudas sendiri dalam perkara ini (ayat 22).

Namun di sebalik semua peristiwa ini, ada satu lagi kuasa. Kuasa Iblis dan manusia tidaklah mutlak. Yesus berkata, “Anak Manusia akan mati sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah” (ayat 22). Di sebalik peristiwa jahat dalam beberapa hari yang akan datang, tangan Tuhan yang berkuasa bekerja di tengah-tengah pengkhianatan, penderitaan dan kematian untuk mendamaikan lelaki dan perempuan dengan-Nya.

Jamuan Paska terdiri daripada daging, herba serta sayuran, tetapi Yesus fokus kepada roti yang tidak beragi dan wain, untuk mengajar pengikut-pengikut-nya maksud sebenar Paska. Kitab Keluaran meramalkan bahawa Kristus akan mati (Keluaran 12:1-28). Roti yang dipecahkan ibarat Tubuh-Nya, dan wain melambangkan darah-Nya yang tercurah. Yesus sedang menyatakan maksud serta tujuan Paska yang sebenar (lihat Lukas 24:44-46). Kita sememangnya harus membiasakan diri untuk berkumpul sebagai pengikut-Nya, serta makan dan minum bersama dalam jamuan makan yang mengingatkan kita tentang kematian-Nya demi kita (ayat 19).

Kita percaya kepada Tuhan Yang Maha Kuasa, yang melaksanakan tujuan baik-Nya secara indah dan penuh misteri demi keselamatan kita, melalui pilihan dan perbuatan manusia berdosa yang sengaja, dan tipu muslihat Iblis. Ini kerana kita percaya kepada kedaulatan Tuhan yang ajaib, kita boleh berdoa dengan yakin dan tidak takut pada masa depan.

Renungkan: Kita telah berulang kali melihat bahawa jamuan makan menjadi sebahagian
penting dalam pelayanan Yesus (Lukas 5:29; 14:15-24; 15:2). Yesus sekarang
menetapkan jamuan sebagai cara untuk mengenang kematian-Nya. Mengapakah jamuan makan merupakan kaedah yang penting dan berkesan untuk memperingati salib?

Halaman Utama

Rancangan Pembacaan seterusnya: Yesus Mati Manusia Dibebaskan
1|2|3|4|5