Semasa Yesus disalibkan, terdapat dua penjenayah turut digantung di sebelah-Nya. Seorang mengejek-Nya seperti orang ramai, tetapi yang seorang lagi tidak. Dia baru mendengar Yesus meminta Bapa-Nya untuk mengampuni musuh-musuh-Nya (ayat 34) dan memahami bahawa Yesus tidak bersalah serta merupakan peribadi yang boleh membawa penyelamatan bagi manusia. Yesus telah mengisytiharkan, “Bertaubatlah daripada dosa kamu, kerana tidak lama lagi Allah akan memerintah!” (Matius 3:2; 4:17; Markus 1:15). Si penjahat mengakui dosanya (ayat 41) dan menyatakan imannya kepada Yesus sebagai Raja. Apabila dia menghembuskan nafas terakhirnya, Yesus menyambutnya dia masuk ke Pemerintahan Tuhan yang kekal. Harapan tersedia bagi sesiapa pun, walaupun mereka berada di ambang kematian, jika mereka berpaling dengan ikhlas kepada Kristus.
Apabila Yesus menghembuskan nafas terakhir-Nya, ada tiga kesaksian. Pertama, alam semesta menyatakannya dengan membawa kegelapan ke atas seluruh negeri selama tiga jam. Kegelapan sering kali merupakan simbol penghukuman (lihat Keluaran 10:21; Matius 25:30), dan Yesus telah menerima hukuman Tuhan yang sepatutnya kita terima. Kedua, Tuhan bercakap melalui tirai Rumah Tuhan yang koyak dari atas ke bawah (ayat 45). Secara simbolik, Rumah Tuhan ialah tempat kediaman Tuhan, dan Tuhan Yang Maha Kuasa tinggal di bilik takhta, iaitu Bilik Maha Suci. Kemasukan ke hadirat-Nya adalah dilarang. Sekali setahun, hanya Imam Agung dapat masuk ke Bilik Maha Suci melalui tirai (Ibrani 9:7). Selain mereka, sesiapa yang memasuki Bilik Maha Suci pada bila-bila masa pasti mati. Hari-hari itu sudah berakhir! Dengan menghapuskan dosa kita, Yesus telah membuka laluan bagi semua untuk datang kepada Tuhan. Ketiga, kesaksian daripada seorang ketua askar Roma (ayat 47). Dia telah melihat serta mendengar tentang Penyelamat yang mati dan mengalami kegelapan, lalu mengakui Kristus adalah benar dan tidak bersalah.
Renungkan: Kisah Lukas tentang kematian Yesus bermula dengan kebohongan dan ejekan orang, tetapi berakhir dengan kata-kata kebenaran dan iman. Suara siapa yang akan menjadi suara kita?
Rancangan Pembacaan seterusnya: Kristus Telah Bangkit
1|2|3|4|5