Hari Ke-5: Hari Menuai

Hari Ke-5: Hari Menuai

Bacaan Alkitab: Galatia 6:1-10

Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya. —Galatia 6:7

Hari Kaamatan dan Gawai akan tiba tidak lama lagi dan ramai orang Sabah dan Sarawak akan berpesta serta merayakan hasil padi mereka yang telah ditanam sejak beberapa bulan dahulu. Usaha para petani menabur benih padi mungkin kurang daripada enam bulan yang lalu, kini kita telah melihat hasilnya—padi sudah habis dituai dan musim menabur akan menjelang kembali.Walaupun jelas kelihatan bahawa menanam padi itu mengarah kepada penuaian padi, kadangkala kita menafikan hubungan antara menanam dan menuai dalam kehidupan rohani kita. Sementara kita bersyukur atas berkat padi yang ada, renungkan kata-kata Rasul Paulus, “Janganlah tipu diri sendiri. … Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya” (Galatia 6:7).

Hidup untuk memuaskan keinginan tubuh kita membuahkan kerosakan akhlak dalam bentuk keinginan akan harta orang lain, mementingkan diri sendiri, dan penyalahgunaan dadah (5:19-21). Namun kehidupan yang berjalan bersama-sama Roh menghasilkan kedamaian, kebaikan hati, dan pengawalan diri (5:22-23). Atas rahmat Tuhan, kita boleh memilih untuk “menanam menurut pimpinan Roh Allah” dan menuai hidup yang sejati dan kekal (6:8).

Sempena Kaamatan dan Gawai tahun ini, tidak cukup setakat melihat dan bersyukur atas hasil tuaian padi yang telah ditabur. Renungkan dengan lebih dalam, sekiranya Yesus mengisytiharkan hari ini sebagai “hari menuai” dalam kehidupan kita, dan Dia menyuruh kita mengumpulkan hasil daripada pilihan yang kita buat setiap hari, apakah yang dapat kita tunjukkan kepada-Nya? —Jennifer Benson Schuldt

Hal-hal dunia sering menarik hatiku,
Tetapi Tuhan, tolonglah aku melihat dari mula hingga akhirnya;
Bukalah mataku untuk melihat arah tuju hidupku,
Aku tuai daripada semua yang aku tabur. —K. DeHaan
Benih yang kita tanam hari ini menentukan jenis buah yang kita tuai hari esok.

Oleh: Jennifer Benson Schuldt | Lihat Penulis Lain

Kembali ke laman “Padi Berkat Tuhan”
1|2|3|4|5